OLE GUNNAR SOLSKJAER
OLE GUNNAR SOLSKJAER
AFP

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer menegaskan, menjulang trofi lebih penting bagi Manchester United berbanding menamatkan saingan Liga Perdana di tangga empat teratas, dalam usaha pengurus sementara itu meraih dua kejuaraan pada musim ini. 

Selepas mengharungi lapan kemenangan berturut-turut di bawah kendaliannya, Solskjaer mengubah kempen United yang tampak hambar di bawah kendalian bekas pengurus, Jose Mourinho. 

United masih bersaing dalam kancah Piala FA dan Liga Juara-Juara selain meningkat dalam kempen liga, dan berpeluang untuk menamatkan saingan di kelompok tiga terbaik. Berdasarkan undian dikeluarkan pagi tadi, United dijadual berdepan juara bertahan, Chelsea di pusingan 16 terbaik Piala FA – untuk memburu slot ke suku akhir.  

Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino yang dianggap masih calon pilihan mengendalikan United secara tetap begitupun mendakwa sasaran utama kelab kendalian Solskjaer ketika ini adalah kedudukan empat terbaik Liga Perdana dan tiket Liga Juara-Juara berbanding trofi. 

Tetapi Solskjaer, yang menjulang deretan trofi kejuaraan di Old Trafford ketika beraksi di bawah kendalian bekas pengurus, Sir Alex Ferguson berpendapat sebaliknya. 

“Saya tidak berada di sini untuk membincangkan apa yang Pochettino kata atau apa pengurus lain kata tetapi kami akan memburu trofi, sudah tentu kami akan lakukannya,” kata Solskjaer.

“Dan kami tidak boleh menjuarai liga pada tahun ini, kami masih bersaing dalam saingan piala, sudah tentu kami akan cuba untuk menang Piala FA. Saya fikir setiap pengurus mahu menang setiap perlawanan jadi saya tidak fikir apa beliau lakukan.

“Jika kamu menang trofi, ia hari yang menakjubkan untuk semua orang dalam kelab, ia adalah masa terbaik dalam hidup kamu, hari di mana kamu menang kerana kamu tidak akan tahu apa yang berlaku selepas itu.” 

Di sebalik keinginan tinggi Solskjaer untuk menjulang trofi, realiti bola sepak moden bermakna melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara tidak boleh dipandang mudah.

“Ia bukan impian kami, untuk berada di kedudukan empat terbaik,” katanya. “Kami adalah Man United, kamu sentiasa menyasarkan untuk menang liga. Kami tidak boleh melakukannya pada tahun ini tetapi kami perlu memandang ke depan.

“Kami masih bersaing dalam Liga Juara-Juara, Piala FA, kami tidak boleh dengan mudah berkata ‘empat terbaik dan itu saja.’ Kami perlu melihatnya dan boleh menang sesuatu pada tahun ini. dan saya mengharungi setiap perlawanan selaku pengurus United dan berfikir kami boleh menang perlawanan ini.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 10:03 AM