Pep Guardiola memperkatakan sesuatu kepada pemainnya. FOTO AFP
Pep Guardiola memperkatakan sesuatu kepada pemainnya. FOTO AFP
Pep Guardiola. FOTO AFP
Pep Guardiola. FOTO AFP
AFP

HUDDERSFIELD, England: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola jauh daripada gembira biarpun menang 3-0 di Huddersfield Town, malam tadi sekali gus menyaksikan skuad kendaliannya mengecilkan jurang berbanding peneraju Liga Perdana Inggeris, Liverpool kepada empat mata.

Reds bangkit mengatasi Crystal Palace 4-3, kelmarin untuk meningkatkan tekanan terhadap juara bertahan City yang kelihatan bergelut ketika bertandang ke Huddersfield.

Gol pertama City, yang terhasil menerusi biasan bola Danilo pada minit ke-18, adalah jaringan ke-100 mereka dalam semua pertandingan musim ini sebelum Raheem Sterling menanduk masuk bola hantaran Leroy Sane pada minit ke-54 dan Sane sendiri melengkapkan kemenangan 3-0 dua minit kemudian.

Bagi Guardiola, ia sepatutnya menjadi petang yang harus dinikmati dengan tenang tatkala City terus menekan Liverpool dalam perebutan gelaran Liga Perdana.

Bagaimanapun, pengurus City itu tidak mampu menyembunyikan kemarahannya apabila menyifatkan ia bukan persembahan yang diimpikannya ketika berdepan Huddersfield yang memecat pengurusnya David Wagner, Isnin lalu.

“Dalam satu musim pastinya anda akan berdepan perlawanan sebegini,” kata Guardiola. “Ia penting untuk menang. Kami menjaringkan banyak gol dalam semua pertandingan.

“(Tapi) cara bermain hari ini, kami tidak sepatutnya mendapat lebih daripada tiga gol. Kami perlu terus meningkat di masa depan.

“Kami perlu tanamkan dalam diri untuk mendapat lebih daripada setiap perlawanan dan membuat yang terbaik, tapi ada kalanya ia menjadi sukar.

“Hari ini kami gembira dengan kemenangan ini, tapi selepas ini kami perlu segera menganalisis semula persembahan ini. Dalam satu-satu musim pastinya anda akan menghadapi situasi yang mana anda tidak berada pada tahap terbaik.”

Walaupun penyokong City tentunya lebih gembira berbanding pengurus mereka, Guardiola tetap melihat persembahan itu dari sudut positif apabila pemainnya masih belum mahu mengaku kalah dalam pemburuan liga.

Buat minggu kedua berturut-turut, City memulakan perlawanan dengan mengetahui Liverpool sudah memenangi aksi mingguan dan ia jelas mencetus tekanan tambahan.

Sekali lagi, anak didiknya berjaya mengatasi tekanan itu selepas sebelum ini turut menewaskan Wolves 3-0 dan Guardiola gembira untuk mengingatkan semua pemburuan gelaran hanya akan ditentukan empat bulan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 11:16 AM