PEMAIN Manchester City, Leroy Sane (kanan) melepasi halangan pemain Liverpool, Virgil van Dijk. FOTO Reuters
PEMAIN Manchester City, Leroy Sane (kanan) melepasi halangan pemain Liverpool, Virgil van Dijk. FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola berkata kelab itu masih belum menyaksikan persembahan terbaik daripada Leroy Sane.

Selepas tidak disenarai dalam skuad Piala Dunia Jerman, Sane meledak gol pembukaan ketika City tewas 1-2 ke atas Liverpool pada kempen Piala Juara-Juara Antarabangsa, hari ini.

Justeru, Guardiola berkata pemain yang meraih anugerah Pemain Muda Terbaik PFA tahun lalu itu masih memiliki ruang untuk menjadi lebih baik.

“Ia bergantung kepadanya,” kata Guardiola. “Dia memerlukan masa dan dia perlu meraih semula prinsipnya dari sudut bermain tanpa bola.

“Dia mempunyai bakat untuk melakukannya dan kami gembira yang dia menjaringkan gol. Tetapi dia masih jauh daripada prestasi terbaiknya.”

Guardiola turut mengatakan persembahan yang dipamerkan pemainnya ketika menentang Liverpool membuktikan barisan pemain muda City mempunyai masa depan yang cerah.

“Sepanjang 75 minit, apa yang kami lalukan adalah menakjubkan dengan pemain yang kami ada... Personaliti kami menakjubkan. Purata umur pemain kami yang beraksi pada separuh masa pertama adalah amat muda.”

Perlawanan City berikutnya dalam kejohanan di Amerika Syarikat itu ialah juara Jerman, Bayern Munich pada Sabtu ini.

City dijadual bertemu Chelsea bagi perlawanan Piala Perisai Komuniti pada 5 Ogos sebelum memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal enam hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 11:25 PM