MURRAY (kanan) jaring gol tunggal perlawanan. -Foto AFP
MURRAY (kanan) jaring gol tunggal perlawanan. -Foto AFP
AFP

BRIGHTON: Glenn Murray muncul wira Brighton apabila menjaringkan gol ke-99 buat dirinya selepas menewaskan West Ham 1-0 dan melonjak satu anak tangga dalam carta Liga Perdana, awal pagi tadi.

Kemenangan di tempat sendiri itu menyaksikan Seagulls menduduki tangga ke-12 dengan West Ham jatuh ke tangga ke-15 sekali gus menamatkan siri kemenangan empat perlawanan Hammers termasuk kejayaan mengejut ke atas Manchester United 3-1 minggu lalu.

Brighton menguasai perlawanan sejak sepak mula dan mendahului pada minit ke-25.

Pemain West Ham Andriy Yarmolenko kehilangan bola selepas dirampas Beram Kayal di kawasan tengah.

Pemain tengah Brighton itu dengan pantas melarikan bola ke kawasan lawan. Selepas bertukar hantaran dengan Solly March dia melorongkan bola kepada Murray yang tidak dikawal ketat pertahanan Hammers dan mudah menewaskan penjaga gol Lukasz Fabianski.

Selepas jaringan itu skuad London tampak bergelut mengekalkan penguasaan dan kesempatan ini diambil anak buah Manuel Pellegrini untuk mengasak kubu tuan rumah di separuh masa kedua namun peluang terhidang gagal dimanfaatkan barisan penyerang mereka.

Murray hampir menjaringkan gol ke-100 namun tandukannya sedikit tersasar melewati palang gol.

Kemenangan di Stadium Amex itu adalah kemenangan kedua Brighton musim ini dan buat pertama kali gawang mereka tidak dibocori lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 7:48 AM