Wafieyuddin mahu posisi utama penjaga gol Tok Gajah. FOTO Pahang FA
Wafieyuddin mahu posisi utama penjaga gol Tok Gajah. FOTO Pahang FA
Asrol Awang


KUANTAN: Wafieyuddin Shamsudin kini bekerja keras meningkatkan prestasi dalam usaha merebut posisi penjaga gol utama Pahang bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) tahun ini.

Justeru, pemain berusia 29 tahun itu sudah bersedia mempamerkan ketangkasan untuk membuktikan dia mampu mengawal gawang Pahang bagi saingan musim ini.

Pada masa sama, dia tidak mahu lagi dibayangi Helmi Eliza Elias dan Remezey Che Ros yang sering menjadi pilihan jurulatih Dollah Salleh.

“Sebelum saingan Liga-M dibuka pada Febuari ini, saya harap dapat menawan hati jurulatih disenaraikan sebagai penjaga gol utama.

“Saya juga percaya kepada rezeki walaupun umur sudah memasuki 29 tahun.... tapi jika diberi peluang mengawal benteng terakhir pasukan, saya sedia memberikan yang terbaik.

“Biarpun perlu bersaing dengan Helmi dan Remezey yang memiliki pengalaman luas dalam saingan Liga-M khususnya Liga Super, saya tidak boleh berputus asa,” katanya.

Wafieyuddin yang juga bekas pemain Shahzan Muda musim 2013-2017 berkata, sesi latihan harian juga dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meyakinkan Dollah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 6:37 PM