HOWE (kanan) terpaksa menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19. FOTO AFP
HOWE (kanan) terpaksa menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19. FOTO AFP
AFP

London: Eddie Howe bakal terlepas aksi pertama sebagai pengurus Newcastle di laman sendiri menentang Brentford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hari ini selepas beliau disahkan positif Covid-19.

"Saya sangat kecewa tidak dapat bersama anda semua di St James Park namun ia adalah sangat penting mengikut segala peraturan dan menjalani kuarantin.

"Saya mahu memaklumkan kepada semua orang saya berada dalam keadaan baik dan ia berita yang tidak menyenangkan saya, saya tahu ia tidak menjejaskan persiapan untuk perlawanan yang sangat penting ini.

"Saya akan sentiasa berkomunikasi dengan barisan kejurulatihan dan pemain untuk perlawanan hari ini dan sepanjang minggu ini. Saya akan memberikan segala-galanya mengenai aksi di dalam mahupun di luar padang," katanya.

Penolong jurulatih, Jason Tindall dan Graeme Jones akan mengambil alih sepanjang ketiadaan Howe.

Newcastle masih lagi memburu kemenangan pertama EPL musim ini namun mereka kembali optimis selepas pengambilalihan kelab oleh pemilik dari Arab Saudi.

Howe dilantik awal bulan ini tatkala pemilik baru Newcastle mahu melakukan perubahan besar ke atas kelab yang bergelut sejak beberapa tahun dan beliau berada dalam tekanan amat tinggi untuk melakukan perubahan selepas kali terakhir mereka meraih kejuaraan utama pada 1969.

Newcastle hanya memungut lima daripada 33 mata yang ditawarkan dalam saingan EPL setakat ini dan kurang lima mata untuk keluar dari zon penyingkiran.

Bagaimanapun, Howe yang tidak melatih mana-mana pasukan sejak meninggalkan Bournemouth Ogos 2020, menegaskan Newcastle mampu merapatkan jurang.

"Di Bournemouth kami berada di zon penyingkiran hampir setiap tahun. Pada empat tahun pertama kami berjaya mencapai objektif dan kekal di EPL," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 12:47 PM