HOWE seram bertemu City sekali lagi kali ini dalam saingan Piala FA. FOTO Reuters
HOWE seram bertemu City sekali lagi kali ini dalam saingan Piala FA. FOTO Reuters
Reuters

London: Diundi dengan penyandang juara, Manchester City di suku akhir Piala FA adalah perkara terakhir yang ingin didengar Eddie Howe tatkala pengurus Newcastle United itu mempersiapkan berdepan juara treble tahun lalu buat kali keempat musim ini.

Newcastle, yang kali terakhir memenangi trofi berkenaan pada 1955, akan berkunjung ke Manchester pada 16 Mac bagi aksi pusingan kalah mati itu.

"Saya sedang memandu ketika itu dan hampir terbabas keluar dari jalan raya!. Ia bukan keputusan undian yang saya mahukan," kata Howe kepada wartawan.

"Saya tidak fikir mana-mana pasukan mahu menentang Man City empat kali dalam satu musim. Tetapi... untuk memenangi Piala FA anda mungkin perlu menewaskan Manchester City pada satu peringkat dalam pertandingan. Kami hanya perlu melakukannya lebih awal daripada yang kami harapkan."

Newcastle menewaskan City dalam Piala Liga pada September, tetapi tewas kepada juara bertahan dua kali dalam Liga Perdana Inggeris, di mana mereka melayan kunjungan Wolverhampton Wanderers esok.

Howe berkata kepulangan Elliot Anderson, Joe Willock, Alexander Isak dan Sven Botman daripada kecederaan memberi semangat kepada pasukannya.​

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 9:10 PM