AHMAD AMIZAL SHAIFIT AHMAD RAFIE
AHMAD AMIZAL SHAIFIT AHMAD RAFIE
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KANGAR: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) berjanji akan melunaskan hutang gaji tertunggak 18 pemain Perlis Northern Lions 2 (PNL2) selewatnya pada 7 Mac ini.

Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, kesemua jumlah tertunggak itu akan diselesaikan dengan menggunakan geran yang bakal diperolehi badan induk bola sepak negeri itu daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Ahmad Amizal bagaimanapun berkata, beliau tidak menolak kemungkinan 18 pemain terbabit tidak beraksi bersama PNL2 berikutan PFA tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk menampung pasukan itu pada musim ini.

“Kita sudah mencapai persetujuan secara bersama mereka (18 pemain) berhubung soal gaji dalam pertemuan secara tertutup hari ini.

“Penyelesaiannya PFA berkemungkinan menggunakan duit geran yang diberikan MFL bagi menyelesaikan tunggakan berkenaan,” katanya di Hotel Putra Regency, Kangar petang tadi.

Sebelum ini, NSTP melaporkan 18 pemain PNL2 menyara kehidupan harian mereka dengan bekerja sebagai nelayan sambilan dan membuka ‘carwash’ secara kecilan bagi menampung kehidupan seharian selepas hampir tujuh bulan tidak menerima bayaran sepanjang beraksi dalam Liga FAM tahun lalu.

Malah, ada sebahagian daripada mereka mendakwa terpaksa menggadaikan motosikal kesayangan bagi membayar bil utiliti rumah selain beberapa kali menunda tarikh perkahwinan sejak tahun lalu.

Ahmad Amizal berkata, beliau mengakui penaja hilang kepercayaan untuk menaja PFA selepas isi tunggakan gaji itu meletus sejak minggu lalu.

“Ia memberikan kesan kepada PFA, secara tidak langsung memberikan kesan negatif kepada pasukan.

“Bagaimanapun PFA tidak akan sama sekali bersikap lepas tangan dalam menangani hal ini dan berharap jika ada mana-mana penaja yang sudi menghulurkan tajaan kepada Singa Utara bagi menghadapi cabaran musim ini,” katanya.

Katanya, kemelut yang berlaku sama sekali tidak akan melemahkan semangat PFA untuk terus bangkit memburu kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 9:38 PM