ANAK Kapal bergambar bersama penumpang yang terdiri daripada Ultras Malaya didalam pesawat khas AirAsia menuju ke Hanoi. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
ANAK Kapal bergambar bersama penumpang yang terdiri daripada Ultras Malaya didalam pesawat khas AirAsia menuju ke Hanoi. FOTO/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Daripada Aziman Rosdi di Hanoi


PERSEKUTUAN Bolasepak Vietnam (VFF) hari ini memberi jaminan keselamatan kepada penyokong Malaysia yang akan bertandang ke Stadium Nasional My Dinh bagi aksi kedua final Piala AFF malam esok.

Jaminan itu disampaikan Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Datuk Seri Azzuddin Ahmad yang sudah mengadakan pertemuan dengan pihak VFF.

“Ini inisiatif diambil VFF sendiri walaupun pihak FAM menekankan faktor keselamatan terutama penyokong dari Malaysia, saya percaya pihak Vietnam sudah ambil langkah komprehensif dengan semua agensi keselamatan mereka akan mengambil tindakan sewajarnya bagi perlawanan esok,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Dijangka 3,000 penyokong Harimau Malaya akan hadir ke stadium esok bagi memberikan sokongan kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang bakal memburu kejuaraan kedua selepas 2010.

Tiada kekecohan antara penyokong berlaku pada pertemuan pertama final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Selasa lalu yang menyaksikan Malaysia dan Vietnam terikat 2-2.

Bagaimanapun penyokong Vietnam melahirkan rasa tidak puas hati di media sosial kerana ramai yang tidak mendapat tempat duduk bagi menyaksikan perlawanan itu.

Mengulas mengenai limpahan penyokong di SNBJ yang didakwa melebihi 90,000 penyokong, Azzuddin berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

“Selepas final malam esok, kita akan buat siasatan menyeluruh dengan mendapatkan maklumat daripada FAM. Pada pandangan kasar memang jumlah penonton melebihi kapasiti stadium, jadi kita nak cari punca apa yang berlaku, saya tak boleh komen lanjut sehingga siasatan selesai,” katanya.

  • Lagi berita Piala AFF
  •  

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 8:08 PM