HAMILTON sudah peroleh lima kali gelaran dunia dalam F1. FOTO/AFP
HAMILTON sudah peroleh lima kali gelaran dunia dalam F1. FOTO/AFP
Daripada Saiful Affendy Sapran


ABU DHABI: Juara dunia lima kali, Lewis Hamilton mengakui tidak mempunyai keinginan tinggi untuk cuba menyamai rekod tujuh kejuaraan dunia dilakar pemandu terhebat sepanjang zaman, Michael Schumacher. 

Malah tegas pemandu Mercedes AMG PETRONAS itu, dia tidak akan pernah berasa menyesal andai tidak mampu menyamai rekod Schumacher.

"Tidak, ketika ini ia bukanlah keinginan utama saya dan bukan juga sesuatu yang menjadi sasaran.

"Jika tidak dapat melakukannya saya tidak menyesal kerana saya tidak mempunyai perasaan ke arah itu.

"Sasaran utama saya adalah untuk cuba meningkatkan prestasi di setiap sudut.

"Jika saya berada lama di sini (perlumbaan F1) mungkin ia boleh dilakukan tetapi pada masa sama saya juga perlu bekerja keras," katanya ketika di temui di sini.

Bagaimanapun jelas Hamilton, motivasinya untuk memenangi perlumbaan pada setiap pusingan tidak pernah berkurang.

"Motivasi saya tidak pernah menurun. Ia adalah DNA paling mudah anda boleh ditemui dalam diri saya.

"Saya akan memberikan fokus sepenuhnya kepada sasaran seterusnya musim depan," katanya.

Hamilton yang sudah pun mengesahkan kejuaraan dunia kali kelima pada Grand Prix Mexico, menutup tirai musim ini dengan bergaya apabila muncul juara pada pusingan terakhir di Grand Prix Abu Dhabi di Litar Yas Marina semalam.

Pelumba Britain itu muncul pemandu paling cemerlang dalam era moden apabila memenangi kejuaraan dunia bermula 2008, 2014, 2015, 2017 serta tahun ini. 

Hamilton turut membantu pasukannya memenangi kejuaraan pengeluar selama lima musim berturut-turut bermula 2014 sekali gus menyamai rekod y dilakukan Ferrari dari 2000 sehingga 2004 yang ketika itu diketuai Schumacher. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 1:41 PM