HAMILTON (kanan) tekad hampiri rekod Schumacher. FOTO/AGENSI
HAMILTON (kanan) tekad hampiri rekod Schumacher. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Juara dunia lima kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton berharap untuk sekurang-kurangnya dapat menghampiri rekod pemandu terbaik sepanjang zaman, Michael Schumacher.

Hamilton kini menyamai rekod Juan Manuel Fangio sebagai pemandu yang memenangi gelaran dunia sebanyak lima kali selepas mengesahkan kejuaraan dunia kelima di Grand Prix Mexico.

Pemandu British berusia 33 tahun itu kini hanya ketinggalan di belakang Schumacher yang memenangi tujuh gelaran juara dunia.

Namun dia sudah pun mengatasi rekod petak pertama berbanding legenda Jerman itu dan hampir untuk menyamai rekod 91 kemenangan Schumahcer dan 155 kali menaiki podium.

Awal tahun ini Hamilton menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Mercedes yang akan menyaksikannya kekal beraksi di F1 sehingga hujung musim 2020.

"Saya tidak mahu terlalu ambil mudah. Saya hanya mahu berasa bersyukur dengan kemenangan yang diperolehi.

"Saya sangat bernasib baik untuk berada sehingga ke tahap ini.

"Sama ada saya berpeluang untuk memenanginya lagi, tiada siapa yang tahu. Perjalanan karier saya masih panjang, jadi saya harap sekurang-kurangnya dapat menghampiri rekod Schumacher," katanya.

Selepas muncul pemandu ketiga sepanjang sejarah memenangi lima kejuaraan dunia, Hamilton masih melabelkan Schumacher sebagai seorang yang genius selepas apa yang dikecapi bersama Ferrari.

"Rekod Schumacher masih lagi paling terbaik. Fangio pula adalah seorang perintis dalam perspektif pemandu. Untuk melakukan sepertinya ketika segala-galanya amat berbahaya adalah sesuatu yang sangat sukar dan saya amat menghormatinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 7:54 AM