RAHEEM Sterling (kanan) dan Leroy Sane (kiri). FOTO EPA
RAHEEM Sterling (kanan) dan Leroy Sane (kiri). FOTO EPA
AFP

LONDON: Leroy Sane memuji Raheem Sterling sebagai ‘menakjubkan’ selepas pemain sayap England itu menjadi inspirasi ketika Manchester City membelasah West Ham 4-0, semalam.

Sterling gagal dikekang di Stadium London ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris itu meraih kemenangan kelapan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Dia mencetus gerakan bagi gol pembukaan yang dijaringkan David Silva dan menyumbat gol kedua berpunca hantaran cantik Sane.

Sane yang juga pemain antarabangsa Jerman turut meledak gol berpunca umpanan Sterling untuk City mendahului permainan 3-0 sebelum babak pertama berakhir.

Ia jelas persembahan penuh bertenaga daripada penyandang juara itu selepas mengharungi rehat dua minggu bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa dengan Sane yang meledak gol kedua peribadinya pada masa kecederaan.

“Kami semua gembira kerana menang di sini, terutama di tempat lawan dan selepas rehat antarabangsa,” kata Sane sambil menyifatkan Sterling sebagai antara tonggak skuad kendalian Pep Guardiola. 

“Sebelum gol pertama saya kami mencipta banyak hantaran. Raheem menjadi ‘mata’ kami di bahagian tengah. Raheem menakjubkan. Lelaki yang hebat, persembahannya pada musim ini menunjukkan peningkatan yang banyak. Sungguh teruja untuk bermain bersamanya.

“Dia mempunyai rasa ‘lapar’ untuk memburu lebih banyak gol. Saya amat gembira untuknya. Semua orang boleh melihat yang kami benar-benar bermotivasi untuk menang perlawanan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 10:11 PM