Leroy Sane. FOTO Agensi
Leroy Sane. FOTO Agensi
AFP

BAYERN Munich hari ini mengesahkan menandatangani pemain sayap Jerman, Leroy Sane dari Manchester City dengan kontrak lima tahun dilaporkan bernilai sekurang-kurangnya 50 juta Euro (RM240.61 juta).

"FC Bayern ialah sebuah kelab besar dan mempunyai sasaran besar - sasaran ini sesuai dengan saya," kata pemain berusia 24 tahun itu yang mahu menang Liga Juara-Juara bersama gergasi Bundesliga itu.

"Saya tidak sabar menanti cabaran baharu dan berlatih dengan pasukan."

Sane tidak sabar bekerjasama dengan ketua jurulatih Bayern, Hansi Flick, yang baharu saja membimbing kelab itu untuk gelaran liga kelapan berturut-turut pada musim pertamanya.

"Saya mengenali Hansi Flick daripada pasukan kebangsaan Bawah 21 Tahun, kami ada hubungan yang baik di sana," kata Sane.

"Saya mahu menang seberapa banyak gelaran bersama FC Bayern, dan Liga Juara-Juara menjadi keutamaan."

Juara Bundesliga itu tidak menyatakan yuran perpindahan tetapi Sky Sports dan BBC melaporkan bahawa Bayern dan City bersetuju dengan jumlah 59.97 juta Euro (RM288.59 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 6:21 PM