KLOPP puji aksi anak buah. FOTO/AGENSI
KLOPP puji aksi anak buah. FOTO/AGENSI
Reuters

LONDON: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp memuji kecemerlangan pasukannya yang terus menghambat Manchester City selepas menang 3-0 ke atas Watford sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam 13 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL)

Selepas 66 minit beraksi, Liverpool buntu apabila mereka gagal menembusi gawang tuan rumah di Vicarage Road dan City pula dalam situasi meyakinkan menang 4-0 ke atas West Ham United, sekali gus meletakkan The Reds dalam keadaan bahaya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu.

Bagaimanapun, diketuai trio serangan mereka Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane pada 22 minit terakhir membolehkan Liverpool terus menekan City.

"Saya rasa keputusan perlawanan menceritakan segalanya kerana kami masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah, sedangkan mereka bertahan dan melakukan serangan balas, jadi kami juga memperoleh beberapa peluang terbaik.”

"Kami menutup aksi dengan sungguh luar biasa, terutama sekali gol ketiga. Gol pertama sangat bijak dan sepakan percuma dari Trent memang sangat menakjubkan.

"Ia adalah permainan yang baik menentang pasukan bagus. Kami sangat sukar untuk bergerak bebas dan Watford memberi kesukaran buat kami," kata Klopp kepada BBC.

Watford memulakan aksi musim ini dengan empat kemenangan dan menduduki tempat ketujuh sebelum aksi menentang Liverpool, sekali gus bakal memberikan halangan sukar buat pasukan Klopp terutama selepas rehat perlawanan antarabangsa.

Bagaimanapun, Alexander Arnold berkata, The Reds sekarang ini sudah membuktikan bahawa mereka bersedia untuk berdepan pasukan jiran Everton.

"Ramai yang menumpukan aksi menentang Manchester City dan Chelsea namun setiap perlawanan sangat penting dan apabila anda melihat sesuatu perlawanan itu kita harus mencatat kemenangan, maknanya anda sudah tersilap.

"Selepas rehat perlawanan antarabangsa kami meletakkan sasaran dan berharap ia menjadi. Kami akan berdepan satu lagi perlawanan sukar minggu depan," kata pemain berusia 20 tahun itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 8:39 AM