MBAPPE cedera dalam saingan persahabatan di Stade de France awal pagi tadi. FOTO/AFP
MBAPPE cedera dalam saingan persahabatan di Stade de France awal pagi tadi. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Kecederaan bahu dialami Kylian Mbappe membayangi kemenangan 1-0 Perancis mengatasi Uruguay dalam saingan persahabatan di Stade de France awal pagi tadi ketika skuad juara dunia kendalian Didier Deschamps menamatkan tahun ini dengan prestasi baik.

Selepas kecewa menyaksikan Belanda mengatasi mereka untuk ke pusingan akhir Liga Negara Eropah menerusi jaringan lewat Virgil van Dijk di Jerman kelmarin, penalti Olivier Giroud pada minit ke-52 memberikan Perancis kemenangan dalam ulangan aksi suku akhir Piala Dunia di Russia.

"Adalah penting untuk menamatkan saingan dengan rentak positif, kekalahan terakhir (di tangan Belanda) menyaksikan kami terlepas saingan separuh akhir (Liga Negara)," kata Deschamps.

Namun Mbappe terpaksa digantikan pada babak pertama selepas terjatuh sekali gus meneruskan malam yang sukar buat jurulatih Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel selepas pengendali Jerman itu menyaksikan Neymar juga mengalami kecederaan selepas aksi persahabatan antara Brazil dan Cameroon di Milton Keynes.

PSG akan berdepan Liverpool dalam saingan penting Liga Juara-Juara di Parc des Princes pada 8 November.

Dibantu sokongan padu penyokong di Paris, Perancis merobek pertahanan Uruguay seawal minit keempat namun sepakan Giroud tersasar dengan hanya penjaga gol, Martin Campana perlu ditewaskan.

Tandukan Matias Vecino terlalu hampir dengan Hugo Lloris ketika pelawat mula menyesuaikan diri namun Mbappe sepatutnya meletakkan Perancis di depan apabila dia menyambut hantaran tetapi cubaannya sedikit tersasar.

Pemain PSG mengalami kesakitan selepas dia diterjah Campana, tampak dia mengalami kecederaan bahu.

Mbappe cuba meneruskan perlawanan tetapi hanya bertahan beberapa saat sebelum memberi isyarat dia tidak boleh meneruskannya dan digantikan Florian Thauvin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 8:47 AM