IZHAM mahu bantu Pahang julang Piala Malaysia. FOTO Sri Pahang FC
IZHAM mahu bantu Pahang julang Piala Malaysia. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Penjaga gol Sri Pahang FC, Izham Tarmizi Roslan bertekad memastikan Piala Malaysia menjadi milik skuad itu musim ini.

Selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) menjulang Piala FA dan menjuarai Liga Super, Piala Malaysia kini peluang terakhir Tok Gajah mencatat kejayaan bermakna musim ini.

"Piala Malaysia adalah peluang terakhir untuk Sri Pahang menjulang piala selepas terlepas Piala FA dan Piala Liga Super.

"Apabila berada pada tahap ini (suku akhir), kami akan melakukan segalanya untuk memastikan kemenangan ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC pada suku akhir.

"Saya dan rakan sepasukan akan mempamerkan persembahan 100 peratus buat pasukan untuk mencapai misi berkenaan.

"Ini kerana sepanjang tempoh rehat Liga Malaysia ini, semua pemain memberikan komitmen tinggi untuk merealisasikannya," katanya.

Pada suku akhir pertama Piala Malaysia pada 17 September ini, skuad Tok Gajah akan bertandang ke tempat lawan sebelum beraksi pada suku akhir kedua di Kuantan pada 24 September.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 6:24 PM