HAFIZH SYAHRIN
HAFIZH SYAHRIN
Fadhli Ishak

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah percaya dia mampu muncul juara kategori pelumba muka baharu MotoGP jika tidak terjatuh beberapa kali musim ini.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu sedar dia kini sukar untuk mengatasi pelumba Itali, Franco Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS) yang kini mendahului kategori itu tatkala hanya tinggal satu perlumbaan musim ini.

Hafizh menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 di Grand Prix (GP) Malaysia di Sepang semalam, manakala Morbidelli menduduki tempat ke-12.

Morbidelli mendahului selepas mengumpul 50 mata, manakala Hafizh di tempat kedua dengan ketinggalan 10 mata namun peluangnya untuk memintas tipis walaupun mata maksimum boleh dikumpulkan dalam satu perlumbaan ialah 25 mata dengan pusingan akhir akan berlangsung di Valencia, akhir bulan ini.

“Ia amat sukar bagi saya sekarang (untuk memintas Morbidelli). Setiap kali saya memperoleh mata dalam perlumbaan di Buriram dan Motegi, dia tidak jauh di belakang saya,” kata pelumba berusia 24 tahun berkenaan.

“Jurang mata antara kami hanya empat mata di Phillip Island namun saya terbabit dengan kemalangan di saat hampir menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.

“Bagaimanapun, saya sudah membuktikan bahawa saya adalah pelumba terpantas dalam kalangan pelumba muka baharu pada musim ini. Malangnya saya mengalami kemalangan di Austin, Catalunya dan Phillip Island.

“Jika saya tidak terbabit dengan kemalangan sudah pasti kita boleh meraikan kejayaan menang kategori itu di Sepang,” katanya yang bakal beralih daripada jentera Tech3 kepada KTM pada musim depan.

“Tech3 berjanji untuk membina sebuah jentera KTM untuk saya dan semua pelumba termasuk Johann Zarco, Pol Espargaro dan Miguel Oliveira akan menggunakan motosikal sama, yang menggunakan teknologi terkini, dan dibangunkan khas bagi membolehkan kami bersaing dengan pengeluar jentera lain seperti Honda, Suzuki, Yamaha dan Ducati.

“Ia mungkin menjadi satu cabaran baharu kerana saya belum pernah mempunyai pengalaman menunggang KTM, namun saya akan cuba melakukannya sebaik mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 5:29 PM