HAFIZH tamatkan saingan di tempat ke-10. FOTO/AFP
HAFIZH tamatkan saingan di tempat ke-10. FOTO/AFP
Fadhli Ishak

 

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah meraih kedudukan 10 terbaik buat kali kedua musim ini di Grand Prix Jepun, hari ini seterusnya memberikan penunggang negara itu peluang merebut anugerah Pelumba Muka Baharu Terbaik MotoGP.

Penunggang Repsol Honda, Marc Marquez (Sepanyol) melengkapkan kejuaraan dengan kemenangan menakjubkan dengan masa 41 minit 36.438 saat, namun Hafizh (+24.985s) juga mengagumkan ketika dia berusaha keras hingga menamatkan saingan di kedudukan 10 di Litar Twin Ring Motegi.

Catatan terbaik Hafizh dalam kelompok 10 terbaik musim ini dicapai pada pusingan kedua di Argentina ketika dia berkedudukan kesembilan.

Keputusan itu menyaksikan penunggang Monster Yamaha Tech3 itu semakin mengurangkan jurang dengan pencabar muka baharu, Franco Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS) yang menamatkan saingan satu tempat di belakangnya. Kedua-dua penunggang itu masing-masing memulakan saingan di kedudukan ke-16 dan 17.

Morbidelli masih mendahului kedudukan pelumba muka baharu terbaik dengan kelebihan empat mata mengatasi Hafizh di tangga kedua.

Hafizh yang kini berkedudukan ke-17 keseluruhan MotoGP dengan 34 mata, amat gembira dengan keputusan itu.

"Saya sangat gembira berada di kedudukan 10 terbaik. Inilah yang saya sentiasa mahukan buat diri saya dan kini kami berada dalam kedudukan 10 terbaik buat kali kedua, jadi saya sangat gembira," kata Hafizh.

"Terima kasih kepada seluruh pasukan kerana melakukan tugas yang amat bagus. Kami memang sentiasa bekerja keras untuk menjadi kuat dalam perlumbaan. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan semua yang menyokong saya.

"Kami perlu terus bekerja keras. Perlumbaan seterusnya di Phillip Island, saya akan cuba melakukan yang terbaik. Ia bukanlah mudah, tetapi saya sudah tidak sabar dan akan cuba berada di tahap terbaik sebelum perlumbaan di tempat sendiri."

Dalam saingan Moto2, penunggang Petronas Sprinta Racing, Niki Tuuli (Finland) dan Khairul Idham Pawi (Idemitsu Honda Team Asia) masing-masing menamatkan saingan di tangga ke-21 dan 22. Penunggang Itali, Francesco Bagnaia (SKY Racing Team VR46) menang dengan catatan 41:04.294s.

Pasangan Petronas Sprinta Racing dalam saingan Moto3, Ayumu Sasaki dari Jepun dan Adam Norrodin menamatkan saingan masing-masing di tangga kesembilan dan 19.

Philipp Island akan menjadi lokasi perlumbaan seterusnya minggu depan sementara pusingan berikutnya akan menyaksikan Malaysia menganjurkan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang pada 4 November.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 6:55 PM