MAYWEATHER (kiri) bergambar dengan Nasukawa. -Foto Reuters
MAYWEATHER (kiri) bergambar dengan Nasukawa. -Foto Reuters

TOKYO: Bintang tinju, Floyd Mayweather Jr mengesahkan dia akan keluar daripada persaraan untuk kembali ke gelanggang, menentang atlet seni mempertahankan diri dari Jepun, Tenshin Nasukawa, yang hampir separuh lebih muda daripadanya.

Mayweather, 41, yang kekal dengan rekod tanpa kalah dalam kariernya dijadualkan bertarung dengan Nasukawa, di Saitama, Jepun.

Kali terakhir petinju dari Amerika Syarikat (AS) itu - yang merangkul lima gelaran dunia dalam lima kategori berbeza bertarung ialah pada Ogos 2017, selepas menumbangkan jaguh seni bela diri campuran dari Ireland, Conor McGregor.

Kemenangan itu membolehkan Mayweather merekodkan kemenangan 50-0, namun bagi pertarungan kali ini, format pertandingan masih belum ditetapkan penganjur, RIZIN.

Sebelum pengumuman rasmi, Mayweather memuat naik gambar dia memakai sarung tangan tinju melalui laman sosial Instagram miliknya, pada hujung minggu lalu.

“Saya mahu memberikan kepada peminat apa yang mereka mahukan - darah, peluh dan air mata,” kata Mayweather pada sidang media di Tokyo selepas dilaporkan terbang ke Jepun menaiki jet peribadi.

“Saya mempunyai impian mahu beraksi di luar AS dan mempamerkan bakat saya. Dunia tidak pernah menyaksikan Mayweather bertarung di sini (Jepun),” katanya.

“Saya mahu meneruskan hubungan dengan Money Team Tokyo (TMT). Kami pernah menjayakan beberapa pertarungan hebat di AS, dan kali ini kami mahu meletakkan kain rentang Mayweather Promotions dan TMT di seluruh dunia,”

Nasukawa, melalui kenyataan yang diedarkan ‘berharap mampu muncul sebagai atlet tempur terbaik pernah dilahirkan di Jepun, dan kini memiliki rekod kemenangan 27-0, namun tidak pernah bertarung sebagai petinju profesional.

Atlet berusia 20 tahun ini dikatakan membuat ‘keputusan mudah’ untuk menerima tawaran berdepan Mayweather di Saitama, di utara Tokyo.

“Ia satu tawaran yang mengejutkan tetapi saya menerimanya tanpa ragu-ragu,” kata Nasukawa.

“Saya tidak peduli apa format yang akan digunakan. Saya mahu menjadi lelaki yang mampu mengubah sejarah. Saya akan melakukannya dengan penumbuk, dengan satu tumbukan - anda cuma perlu saksikannya,” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 4:39 PM