SYAHMI  beraksi dalam kejohanan Asia Talent Cup (ATC).
SYAHMI beraksi dalam kejohanan Asia Talent Cup (ATC).
Fadhli Ishak dan Sukhairi Thani


SEPANG: Dua perlumbaan di laman sendiri pada minggu ini amat dinantikan pelumba muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril yang beraksi dalam kejohanan Asia Talent Cup (ATC).

Danial Syahmi yang bakal beraksi di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) dalam perlumbaan sokongan bagi Grand Prix (GP) Malaysia itu meletak harapan tinggi untuk menamatkan saingan di pentas podium seterusnya menamatkan saingan musim 2018 di dalam kelompok tiga terbaik.

"Selepas pulang dari Jepun (pertengahan bulan lalu), saya mahu menamatkan saingan di podium pada perlumbaan di laman sendiri.

"Saya juga letak sasaran untuk berada dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan dan cuba yang sebaik mungkin untuk perlumbaan terakhir ATC (musim 2018) ini.”

Untuk rekod, Danial Syahmi membolot dua kemenangan pada pusingan di Sirkit Antarabangsa Buriram, awal bulan lalu dan ketika ini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 127 mata.

Mendahului carta ketika ini adalah pelumba Australia, Bill Van Eerde yang mengumpul 169 mata manakala Haruki Noguchi dari Jepun, kedua 157 mata.

Sebagai persiapan bagi menghadapi perlumbaan di hadapan penyokong tempatan, pelumba dari Program Pembangunan Bakat Permotoran SIC itu berkata, dia kini banyak melakukan latihan kecergasan.

"Saya mempersiapkan diri dari sudut kecergasan dengan melakukan lebih banyak latihan kecergasan," katanya yang turut mempersiapkan diri bagi menghadapi perlumbaan dalam keadaan litar basah.

"Saya menjangkakan hujan pada minggu ini, jadi saya juga mempersiapkan diri untuk menghadapi perlumbaan dalam keadaan basah," katanya.

Jadual Asia Talent Cup

Esok

12-12.30tgh: Sesi latihan bebas 1 

4.05-4.35ptg: Sesi latihan bebas 2  

Kelayakan 5.25ptg-5.55ptg

Sabtu

4.30ptg: Perlumbaan 1 (13 pusingan) 

Ahad

10.30pg: Perlumbaan 2 (11 pusingan) 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 10:28 PM