Danial akan berlepas daripada petak ketujuh. FOTO ATC
Danial akan berlepas daripada petak ketujuh. FOTO ATC
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara di Asia Talent Cup, Danial Syahmi Ahmad Shahril meletak sasaran untuk menamatkan perlumbaan di pentas podium di Sirkit Twin Ring Motegi, minggu ini.

Pada sesi kelayakan 1, hari ini, Danial Syahmi yang meraih kemenangan berganda ketika perlumbaan sokongan Grand Prix (GP) Thailand dua minggu lalu, menempah petak ketujuh untuk Perlumbaan 1 yang dijadual berlangsung pada jam 3.15 petang ini.

Pelumba dari Pulau Pinang itu ketinggalan 2.626 saat di belakang pesaing dari Indonesia, Mario Aji yang menyambar petak pertama, dengan catatan terpantas 2 minit 03.652 saat bagi perlumbaan sokongan GP Jepun itu.

“Bagi perlumbaan minggu ini, saya meletak sasaran berada dalam kelompok tiga terbaik untuk membolehkan saya mengumpul mata dan terus bersaing merebut tempat dalam kelompok tiga terbaik dalam senarai keseluruhan.

“Persediaan minggu ini selepas perlumbaan di Sepanyol (Kejuaraan Remaja Dunia Moto3) adalah lebih baik dan InsyaAllah saya akan cuba yang terbaik untuk memberi saingan minggu ini,” kata pelumba yang berada dalam Program Pembangunan Bakat Permotoran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu.

Ketika ini, Danial Syahmi berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 111 mata, ketinggalan 33 mata di belakang pendahulu dari Australia Bill Van Eerde dari Australia, 144 mata.

Saingan musim hanya berbaki satu pusingan di GP Malaysia, awal bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 3:13 PM