RAZLAN (kanan) ketika melawat Danial di KLSMC.-Foto NPO SIC
RAZLAN (kanan) ketika melawat Danial di KLSMC.-Foto NPO SIC
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril tetap positif walaupun terbabit dalam insiden ngeri ketika perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad lalu.

Danial, 16, yang juga pelumba Program Pembangunan Bakat Permotoran SIC itu cedera serius di kaki selepas terjatuh ketika sedang bersaing sengit dengan pendahulu dari Jepun, Haruki Noguchi di garisan penamat perlumbaan sokongan Grand Prix (GP) Malaysia itu.

Sejurus insiden itu, Danial kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dan hari ini, pelumba dari Pulau Pinang itu dipindahkan ke Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) untuk rawatan susulan.

Mengulas mengenai perkembangan pelumba muda itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, tulang betis kanan Danial hancur kira-kira 10 sentimeter (cm) namun daripada sudut positifnya, pelumba itu masih dapat merasai pergerakan di bahagian kakinya.

“Itu yang mustahak kerana kita bimbang kakinya tak dapat diselamatkan,” kata Razlan. 

“Kita memindahkannya ke KLSMC untuk dapatkan rawatan berterusan. Dia masih muda dan doktor memaklumkan, dia boleh diselamatkan.

“Dia dijangka pulih lebih kurang dalam 100 hari dan dia juga akan menggunakan rawatan stem cell.

“Bagaimanapun, ketika ini dia mempunyai motivasi dan masih bersemangat untuk teruskan perjuangan ‘Impian ke MotoGP.

“Kami akan menjaga dia sebaik mungkin kerana dia di bawah program kami dan berharap dia dapat rawatan dalam minggu ini juga.”

Selepas dua perlumbaan penutup tirai di Sepang, Danial menamatkan saingan musim di tangga keempat keseluruhan daripada 22 pelumba dengan 147 mata, ketinggalan 20 mata di belakang juara 2018 dari Australia, Bill Van Eerde.

Danial yang membolot dua kemenangan di Buriram, Thailand bulan lalu turut meraih penamat di tempat kedua pada Perlumbaan 1 di Sepang, Sabtu lalu sebelum nasib malang menimpanya keesokan hari.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 8:51 PM