AZIZULHASNI pamer kebangkitan. FOTO/NSTP
AZIZULHASNI pamer kebangkitan. FOTO/NSTP
Haika Khazi


KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang mengotakan janjinya untuk mempamerkan kebangkitan dan aksi lebih bertenaga apabila meraih pingat gangsa acara keirin di Kejohanan Trek Piala Dunia di Berlin, semalam.

Juara acara itu dimenangi pelumba Belanda, Matthijs Buchli yang sebelum ini merampas jersi pelangi dan gelaran 'Raja Keirin' Dunia daripada Azizulhasni di Kejohanan Dunia 2018 pada Mac lalu, manakala pingat perak milik juara dunia acara pecut dari Australia, Matthew Glaetzer.

Azizulhasni gembira dan bersyukur dengan kejayaan meraih pingat gangsa acara keirin di siri ketiga Kejohanan Piala Trek Dunia 2018, biarpun perjalanannya untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Kejohanan Dunia serta Asia 2019 masih jauh.

"Alhamdulillah, syukur.  Menang gangsa acara keirin di Kejohanan Trek Piala Dunia di Berlin, Jerman," katanya menerusi laman Istagramnya di sini, semalam.

Terdahulu, jaguh basikal negara berasal dari Dungun, Terengganu berusia 30 tahun itu layak ke aksi final bagi menentukan kelompok enam pelumba terbaik buat pertama kali selepas gagal berbuat demikian di dua siri Kejohanan Trek Piala Dunia di Perancis dan Kanada, sebelum ini.

Kejayaan itu bukan hanya membakar semangat Azizulhasni untuk terus berusaha dan mencatat kejayaan lebih cemerlang dalam siri keempat Kejohanan Trek Piala Dunia 2018 yang bakal diadakan di London, pada 14 hingga 16 Disember ini, malah mencerahkan peluang untuknya untuk layak ke Kejohanan Dunia dan Asia 2019 serta Olimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Azizulhasni yang bergandingan dengan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis gagal mara ke separuh akhir acara pecut lelaki berpasukan apabila menduduki tempat ke-13 daripada 15 pasukan dalam perlumbaan pada Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 7:20 PM