GABRIEL Jesus menjaringkan gol pertama Brazil ketika perlawangan dengan Arab Saudi. FOTO Reuters
GABRIEL Jesus menjaringkan gol pertama Brazil ketika perlawangan dengan Arab Saudi. FOTO Reuters
Agensi

GABRIEL Jesus optimis mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan Brazil selepas meledak gol pertamanya di pentas antarabangsa, sejak mengharungi Piala Dunia di Russia yang sukar.

Brazil berdepan Arab Saudi di Riyadh, hari ini dan meraih kemenangan 2-0 dengan Jesus menjaringkan gol pembukaan - yang boleh dianggap menarik menerusi gandingannya bersama Neymar.

Penyerang Manchester City itu dikritik hebat susulan persembahan di Russia selepas dia gagal menjaringkan sebarang gol, sebelum Brazil tersingkir di suku akhir kepada Belgium.

Sesetengah pengkritik termasuk bekas pengurus Brazil, Mano Menezes berpendapat Jesus bergelut untuk menyaingi persembahan Neymar, manakala ada yang berkata Roberto Firmino lebih sesuai dengan sistem Tite.

Jesus mengakui saingan di Russia itu tidak berjalan seperti yang diimpikan, tetapi meletakkan harapan tinggi mengenai prospeknya bersama Brazil.

“Sudah tentu saya amat sedih,” kata Jesus ketika ditanya mengenai emosinya selepas Piala Dunia. “Saya pulang daripada kejohanan dan tinggal di rumah ibu saya, saya tinggal bersama keluarga saya.

“Sudah tentu, ia bukan Piala Dunia yang saya impikan, saya berharap untuk mendapat sesuatu yang lebih bermakna.

“Malangnya, kami tidak memenanginya, tetapi saya berharap situasi akan pulih bermula sekarang. Saya gembira untuk bermain dan menjaringkan gol.”

Alex Sandro menjaringkan gol kedua Brazil pada perlawanan berkenaan, juga berpunca sepakan sudut Neymar selepas menjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al Owais diarah keluar padang kerana memegang bola di kawasan luar kotak penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 2:33 PM