TITE ketika berlatih bersama Neymar. FOTO/AFP
TITE ketika berlatih bersama Neymar. FOTO/AFP
AFP

SAINT PETERSBURG: Jurulatih Brazil, Tite berkata beliau tidak akan mempertaruhkan Nyemar hanya untuk kebaikan pasukan biarpun mahukan bintang Paris Saint-Germain kembali cergas apabila turun bertemu Costa Rica hari ini.

Pemain termahal dunia itu mengalami kecederaan pada buku lali ketika menjalani latihan Selasa lalu, 48 jam selepas mereka memulakan kempen di Piala Dunia dengan keputusan mengecewakan apabila seri 1-1 menentang Switzerland.

Namun Tite mengesahkan beliau tidak mahu apa yang berlaku sewaktu bertemu Switzerland di Saint Petersburg berulang ketika mereka memulakan usaha memburu trofi Piala Dunia keenam.

Mereka berada dalam keadaan terdesak untuk memburu tiket ke peringkat kalah mati menentang Switzerland dengan rakan pasukan Neymar mengharapkan pemain itu namun sentuhannya tidak menjadi.

Dia kemudiannya dikritik kerana bersikap pentingkan diri, sering kali melakukan percubaan sendirian selepas berjaya melepasi kawalan pertahanan Switzerland, Stephan Lichtsteiner apabila tidak bertindak untuk membuat hantaran kepada rakan pasukan.

Namun Tite dengan tegas menyangkal laporan itu dan meminta Neymar memainkan lebih banyak peranan demi kebaikan pasukan.

“Sudah tentu tidak. Maklumat yang anda terima tidak benar,” kata Tite ketika menjawab persoalan dari wartawan Brazil.

“Semua pemain mempunyai tanggungjawab mereka bermain secara kolektif dan menjadi seorang individu.

“Saya tidak akan mempertaruhkan kepintarannya di kawasan lawan. Itu yang dipraktik oleh Coutinho, Jesus, Willian dan Firmino.

“Anda perlu mengukuhkan pasukan tapi saya tidak mengganggu karektor pemain.”

Kecederaan terbaru Neymar menimbulkan kebimbangan berhubung tahap kecergasannya selepas tulang kaki kanannya patah Februari lalu.

Dia kembali dan menjaringkan gol ketika perlawanan pemanas badan Piala Dunia menentang Croatia dan Austria, namun tidak menamatkan aksi penuh 90 minit ketika bertemu Switzerland.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 2:46 AM