LOVREN (kiri) menyelamatkan maruah Liverpool di Anfield. — FOTO AFP
LOVREN (kiri) menyelamatkan maruah Liverpool di Anfield. — FOTO AFP
AFP

LIVERPOOL sudah biasa menyukarkan diri sendiri, akui Juergen Klopp ketika keputusan seri 1-1 dengan Napoli menyebabkan juara Eropah itu terpaksa bekerja keras untuk layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Anak buah Klopp perlu mengelak kalah aksi di tempat lawan menentang RB Salzburg pada 10 Disember ini untuk memastikan tempat ke peringkat kalah mati.

Dries Mertens mengancam untuk mencetus kekalahan pertama Liverpool di laman sendiri dalam Liga Juara-Juara atau Liga Perdana Inggeris sejak April 2017 dengan gol menarik pada minit ke-21.

Tandukan Dejan Lovren pada minit ke-65 bagaimanapun mengekalkan rekod tanpa kalah yang dibanggakan itu, namun selepas beberapa gol kemenangan lewat aksi Liga Perdana musim ini tuan rumah tidak boleh berseronok kali ini.

MERTENS (kiri) meletakkan Napoli di depan menentang Liverpool. — FOTO Reuters
MERTENS (kiri) meletakkan Napoli di depan menentang Liverpool. — FOTO Reuters

“Cara kami memang sering kali yang paling susah,” kata Klopp. “Kami perlu ke Salzburg. Jika kami melakukannya (layak) malam ini kami tetap akan cuba menang di sana dan kami akan melakukan perkara sama sekarang.”

Napoli kekal satu mata di belakang Liverpool, namun berada di kedudukan lebih baik mara ke peringkat kalah mati ketika mereka melayan kunjungan pasukan tanpa menang Genk dua minggu lagi.

“Tidak mudah meraih keputusan seri di sini. Kami agak tertekan dan mula bertahan tapi tidak ada cara lain untuk berjaya di Anfield,” kata jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti.

Liverpool bergelut dengan kehilangan Fabinho pada awal permainan kerana kecederaan buku lali dan Klopp bimbang pemain Brazil itu mungkin terpaksa berehat lama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 7:53 AM