HAMILTON (tengah) memenangi perlumbaan GP Portugal semalam. FOTO EPA
HAMILTON (tengah) memenangi perlumbaan GP Portugal semalam. FOTO EPA
Agensi

Portimao: Lewis Hamilton berkata dia berasakan seperti 'orang bodoh' apabila melakukan kesilapan dengan membenarkan Max Verstappen mengambil kesempatan selepas perlumbaan bersambung semula pada Grand Prix (GP) Portugal semalam.

Tiga pelumba teratas mengekalkan kedudukan mereka pada awal perlumbaan sebelum kereta keselamatan masuk selepas jentera Kimi Raikkonen rosak berikutan bertembung dengan rakan sepasukan di Alfa Romeo, Antonio Giovinazzi.

Hamilton dilihat leka sebaik perlumbaan bersambung semula dengan Verstappen memotong pemandu Mercedes itu di selekoh pertama untuk menyambar kedudukan kedua.

Juara dunia tujuh kali itu mengakui tidak gembira dengan kesilapan dilakukannya selepas mendedahkan terlalu fokus kepada rakan sepasukan, Valtteri Bottas yang pada awalnya memimpin saingan.

"Saya kehilangan kedudukan, itulah yang berlaku," kata Hamilton menjelaskan apa yang berlaku ketika perlumbaan itu.

"Ia amat menarik kerana saya terlalu fokus kepada Valtteri dan tiba-tiba saya lihat Max sudah memotong. Selepas itu saya rasa seperti orang bodoh," katanya.

Hamilton bagaimanapun menebus kesilapan itu dengan memotong semula Verstappen dan kemudian memenangi perlumbaan.

"Ia adalah perlumbaan yang sukar secara fizikal dan mental. Keadaan berangin dan mudah untuk melakukan kesilapan.

"Saya rasa Max juga ada melakukan kesilapan yang mana kita mungkin lihat ia adalah perlumbaan sempurna tanpa sebarang masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 12:14 PM