TEONG Kim gesa beri sokongan kepada skuadnya. FOTO/FAIL
TEONG Kim gesa beri sokongan kepada skuadnya. FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor


KETUA jurulatih skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Lim Teong Kim menganggap pertemuan dengan Thailand dalam Kejohanan B-16 AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil esok, sebagai aksi biasa tanpa perlukan persiapan istimewa.

Malah, beliau juga enggan memikirkan mengenai kebangkitan yang bakal dipamerkan skuad Gajah Perang itu selepas pasukan lawan itu tewas 2-5 kepada Jepun pada aksi pertama.

"Bagi saya, lebih baik fikirkan pasukan sendiri, berusaha untuk memantapkan bahagian yang lemah. Kita tak boleh lihat pasukan lawan, sama ada mereka menang atau kalah.

"Semua pasukan ada peluang untuk menang dan layak ke peringkat seterusnya, begitu juga kami. Apa yang penting, pasukan kita beraksi dengan baik pada hari perlawanan supaya menang," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan Datuk S Sivasundram menyeru seluruh penyokong untuk membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sokongan padu buat Malaysia.

Sivasundram berkata skuad kendalian Teong Kim sangat memerlukan sokongan penyokong bagi mengharungi aksi getir itu yang menyaksikan Malaysia perlukan kemenangan untuk menempah tiket awal ke pusingan seterusnya.

"Saya yakin kita boleh tewaskan Thailand kalau pemain kekalkan fokus seperti berdepan Tajikistan. Cuma saya dan pihak FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) menyeru penyokong membanjiri stadium esok.

"Kita lihat ketika Indonesia menjadi tuan rumah Kejohanan B-16 pada bulan lalu, peminat mereka memenuhi stadium dan kita harap penyokong Malaysia pun dapat memberi sokongan penuh kepada pasukan.

"Saya percaya dengan sokongan padu penyokong, pemain Malaysia dapat mempamerkan aksi yang lebih mantap dan bersemangat," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, hari ini.

Pada aksi pembukaan Kumpulan A, kelmarin, anak buah Teong Kim meraih kemenangan besar 6-2 dan apa yang menyedihkan hanya kira-kira 800 penonton yang hadir ke stadium.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 7:07 PM