TAYYAB IKRAM
TAYYAB IKRAM
Jugjet Singh


KUALA LUMPUR: Persekutuan Hoki Asia (AHF) sudah mengemukakan surat cadangan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk pemenang pingat perak acara hoki lelaki dan wanita di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia memenangi perak bagi kategori lelaki manakala India pula meraih tempat kedua bagi kategori wanita.

Kedua-dua pingat emas dimenangi Jepun, yang sudah layak ke Sukan Olimpik sebagai tuan rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif AHF, Datuk Tayyab Ikram menulis surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Thierry Weil pada 10 September lalu untuk mempertimbangkan semula peraturan kejohanan yang hanya membenarkan pemenang emas layak secara automatik ke Sukan Olimpik.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria pada mesyuarat badan induk itu, hari ini menyambut baik dan menyokong langkah yang diambil AHF.

Tayyab menjelaskan alasan rasional dalam surat yang dikemukakan kepada FIH: “Walaupun saya memahami kriteria FIH, saya ingin mengemukakan permintaan mengenai kepentingan mengkaji semula kriteria kelayakan kerana tuan rumah Sukan Olimpik kali ini dari negara Asia.

“Justeru, kami ingin FIH mempertimbangkan kelayakan pemenang perak kategori lelaki dan wanita di Sukan Asia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, selain kelayakan automatik Jepun sebagai pasukan tuan rumah.”

Antara lain, Tayyab juga menulis dalam surat itu: “Jika pasukan lelaki Malaysia dan wanita India dipertimbangkan untuk mendapatkan slot mereka ke Tokyo 2020, ia akan menjadi satu langkah meritokrasi, kerana negara ini mewakili dua pangkalan peminat terbesar bagi sukan hoki di Asia.”

Malaysia yang mendahului selesa 5-2 terpaksa akur tewas 1-3 dalam penentuan penalti shoot-out sementara pasukan wanita India tunduk 2-1 juga di tangan Jepun.

“Saya percaya peraturan kejohanan bukan terpahat pada batu, jadi kami akan menyokong surat AFH kepada FIH dalam apa saja cara yang kami mampu,” kata Norza.

Mesyuarat MOM, hari ini juga memutuskan untuk membentuk panel pemilihan yang akan memilih atlet yang benar-benar layak menyertai sebarang temasya sukan.

“Memandangkan terdapat banyak masalah dengan pemilihan atlet untuk Sukan Asia di Jakarta, Lembaga MOM bercadang melantik tiga panel untuk melakukan pemilihan awal sebelum disahkan oleh kami.

“Kami mencadangkan Tan Sri Dr M Jegathesan (legenda pecut), Datuk Mazlan Ahmad (bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara) dan Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz (Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara) untuk membentuk panel pemilihan dan kerja mereka dijangka bermula sebelum Sukan SEA 2019 di Manila,” kata Norza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 9:13 PM