HAZARD (kiri) dapat pujian Sarri selepas beraksi cemerlang. FOTO/AFP
HAZARD (kiri) dapat pujian Sarri selepas beraksi cemerlang. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Maurizio Sarri memuji Eden Hazard sebagai pemain terbaik di Eropah selepas bintang Belgium itu meledak hatrik ketika Chelsea membenam Cardiff City 4-1 malam tadi untuk meneruskan permulaan sempurna buat pengurus baharu Blues itu dalam Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, Sarri percaya Hazard boleh menjadi lebih prolifik sekiranya dia pandai menyimpan tenaga untuk mencipta perbezaan dalam kawasan 25 meter lawan.

“Saya fikir Hazard antara pemain terbaik di Eropah. Tapi kini fikiran saya sudah berubah mungkin dia pemain terbaik di benua ini,” kata Sarri mengenai pemain kedua terbaik Piala Dunia 2018 itu.

Hazard menyumbat dua gol dalam tempoh tujuh minit sebelum rehat untuk memadamkan jaringan awal Sol Bamba di Stamford Bridge sebelum melengkapkan hatrik menerusi sepakan penalti.

Ia gol kelimanya musim ini dengan dia setakat ini baru diturunkan dalam tiga perlawanan.

Namun Sarri mahu tonggaknya itu lebih banyak bermain di kawasan gol lawan berbanding turun ke bawah bagi memulakan serangan.

“Hazard boleh terus meningkat. Saya fikir dia boleh mengurangkan penggunaan tenaga berbanding sekarang ini yang menyaksikan dia bermain hingga 50 atau 60 meter daripada gol lawan,” kata bekas bos Napoli itu.

“Bagi saya dia boleh menjaringkan 40 gol tapi dia perlu mengurangkan penggunaan tenaga. Dia hanya perlu bergerak dan bermain dalam kawasan 25 meter lawan.”

Hazard memuji kebebasan yang diberikan Sarri terhadapnya untuk beraksi lebih sebagai penyerang dalam usahanya mengatasi pencapaian gol terbanyak semusim di Liga Perdana – 19 gol.

“(Beliau) hanya mahu kami beraksi dan menghidu ruang kosong di depan kotak penalti, supaya lebih mudah buat Jorginho, Mateo Kovacic dan Cesc Fabregas mencari penyerang untuk melorongkan bola,” kata Hazard.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 8:53 AM