PEMAIN Chelsea, Eden Hazard meraikan jaringan ketika menentang Bournemouth di Stadium Stamford Bridge. FOTO AFP
PEMAIN Chelsea, Eden Hazard meraikan jaringan ketika menentang Bournemouth di Stadium Stamford Bridge. FOTO AFP
AFP

LONDON: Eden Hazard mengakui gembira bermain di bawah kendalian pengurus baru Chelsea, Maurizio Sarri, namun bintang Belgium itu masih berahsia mengenai perancangan masa depannya.

Hazard meledak gol kedua musim ini ketika menewaskan Bournemouth 2-0 semalam ketika kelab itu mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris di bawah Sarri.

Pemain berusia 27 tahun itu berulang kali dikaitkan dengan Real Madrid dan membayangkan minatnya untuk meninggalkan Stamford Bridge.

Namun Chelsea enggan menjual penyerang itu dan Hazard yang kini di musim ketujuh di Stamford Bridge menikmati corak permainan Sarri berbanding gaya konservatif bekas pengurus Blues.

“Saya suka menggelecek bola. Bukan di kawasan saya tapi di kawasan 30 meter terakhir,” kata Hazard.

“Saya sukakan corak permainan sebegini. Ia jauh berbeza berbanding Antonio Conte atau (Jose) Mourinho sebelum ini.

“Kami lebih banyak memegang bola jadi bagi saya ia tidak terlalu teruk.”

Kontrak Hazard berakhir pada 2020 dan pemain Belgium itu masih belum membuat persetujuan berhubung lanjutan kontrak.

Ditanya apa perasaannya sekarang, Hazard berkata: “Bagus. Anda boleh melihatnya di padang. Tunggu dan lihat saja apa yang berlaku pada masa depan.” – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 9:40 PM