RASHFORD (kiri) jaring gol tunggal perlawanan. -Foto Reuters
RASHFORD (kiri) jaring gol tunggal perlawanan. -Foto Reuters
Reuters

LEICESTER: Penyerang Marcus Rashford menjaringkan gol kemenangan pada babak kedua untuk membantu skuad muda England mengelak daripada kekalahan keempat berturut-turut selepas menumpaskan Switzerland 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa awal pagi tadi.

Pemain Manchester United itu menyumbat gol pada minit ke-54 di Stadium King Power susulan sepakan sudut Kyle Walker.

Ia gol kelima Rashford buat England dalam 27 perlawanan dan kedua dalam tempoh beberapa hari selepas dia menjaringkan gol ketika tumpas 1-2 kepada Sepanyol pada aksi Liga Negara Eropah di Wembley, Sabtu lalu.

England, yang mara ke separuh akhir Piala Dunia Russia 2018, melakukan sembilan pertukaran dalam kesebelasan utama, tersentak selepas Switzerland mengawal permainan pada babak pertama sebelum mereka bangkit selepas rehat.

“Setiap orang menyatakan pendapat mereka di bilik persalinan dan kami berjaya mengawal permainan selepas rehat,” kata pemain terbaik perlawanan Danny Rose.

Rakan sepasukannya, Harry Maguire bersetuju dengan apa yang diperkatakan Rose dan suasana di bilik persalinan ternyata mengubah rentak permainan mereka.

“Sebenarnya kami memperkatakan sesuatu dalam kalangan pemain. Semua tidak gembira dengan aksi separuh masa pertama. Kami terlalu menghormati lawan,” kata Maguire.

Pengurus England, Gareth Southgate mengubah corak permainan pada separuh masa kedua dengan mengarahkan benteng pertahanan bergerak lebih ke atas dan ia ternyata berhasil.

Pemain Leicester, Ben Chilwell turut dimasukkan untuk melakukan penampilan sulung bersama England dan lebih manis kerana ia berlaku di gelanggang pasukan kelabnya.

Switzerland memperoleh peluang pertama pada babak pertama namun percubaan Xherdan Shaqiri pada minit ketujuh terkena palang.

“Kami berdepan masalah taktikal dan kebanyakan pemain baru kali pertama beraksi pada 45 minit pertama pada musim baru ini.

“Mereka (lawan) menyimpan bola dengan baik dan kami terpaksa mengejar mereka. Sebenarnya banyak lagi perkara perlu diperbaiki tapi ada antara mereka baru beraksi dalam kesebelasan utama dan paling penting kami menamatkan aksi malam ini dengan kemenangan,” kata Southgate.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 8:12 AM