DIEGO MARADONA
DIEGO MARADONA
AFP

MEXICO CITY: Babak terbaharu dalam karier bola sepak penuh warna warni legenda Argentina, Diego Maradona adalah kelab divisyen dua Mexico, Dorados tetapi pasukan itu dimiliki oleh keluarga yang berkuasa dan berdepan tuduhan berkaitan pengedaran dadah.

Maradona, 57, mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan sudah menandatangani kelab dari Sinaloa, daerah yang terkenal sebagai kediaman ketua kartel dadah, Joaquin “El Chapo” Guzman.

Perkembangan itu pantas menyebarkan khabar angin dan jenaka di media sosial mengenai bagaimana Maradona, yang diketahui bergelut dengan penagihan dadah bersetuju dengan perjanjian berkenaan.

“Maradona menuju ke tempat yang penuh dengan narkotik. Apa yang boleh berlaku?” kata seorang pengguna Twitter.

Di sebalik semua jenaka, kuasa di belakang kelab itu, keluarga Hank berdepan dengan pertuduhan jenayah membabitkan industri pengedaran dan keganasan dadah yang memberi pulangan menguntungkan di Mexico.

Ketua keluarga itu, Jorge Hank Rhon, adalah ahli perniagaan dan ahli politik yang memiliki rangkaian Grupo Caliente yang mempunyai empayar kasino, hotel, trek perlumbaan anjing di Tijuana yang terletak di sempadan Amerika Syarikat di San Diego.

Selain Dorados, syarikatnya turut memiliki kelab divisyen satu Xolos di Tijuana dengan anak lelaki Hank Rhon, Jorgealberto Hank Inzunza, sebagai presiden dua kelab berkenaan.

Dia berkata, Dorados, yang ketika ini menghuni tangga ke-13 daripada 15 kelab yang beraksi di liga itu mahu Maradona kekal bagi mengharungi musim 2018 dan juga keseluruhan musim depan.

“Ketika perbincangan saya dengannya, dia amat teruja untuk menjadi jurulatih di sini. Jujurnya, lebih mudah untuk meyakinkannya berbanding yang saya fikir.”

Dorados sebelum ini terkenal sebagai kelab terakhir pengurus Manchester City, Pep Guardiola menghabiskan kariernya selaku pemain tetapi ‘kubu’ Hanks yang sebenarnya berada di Tijuana di utara Mexico.

Hank Rhon, 62, adalah Datuk Bandar Tijuana dari tahun 2004 hingga 2007, tetapi dia berdepan pelbagai tuduhan terhadap pembabitan dalam jenayah terancang.

Pada 2011, dia ditahan oleh pihak berkuasa yang menggeledah kediamannya dan merampas lebih 80 pucuk pistol dan ribuan peluru dengan pihak pendakwaraya berkata, dua daripadanya digunakan untuk membunuh tetapi Hank dilepaskan 10 hari kemudian.

Selain dadah, Hank juga dituduh mengedarkan spesis haiwan terancam. Sebagai bekas datuk bandar, dan memiliki pengaruh kuat dalam politik, dia sebenarnya amat digeruni di Tijuana, malah pihak yang cuba mendedahkan jenayahnya turut dibunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 12:17 PM