PEMAIN tenis Switzerland, Roger Federer (kiri) tewas mengejut kepada pemain ranking ke-55, John Millman. FOTO AFP
PEMAIN tenis Switzerland, Roger Federer (kiri) tewas mengejut kepada pemain ranking ke-55, John Millman. FOTO AFP
AFP

NEW YORK: Juara lima kali, Roger Federer tersingkir daripada Terbuka Amerika Syarikat selepas dikejutkan pemain ranking ke-55 dunia dari Australia, John Millman yang mara ke suku akhir menentang bintang Serbia, Novak Djokovic.

Kemenangan Millman 3-6, 7-5, 7-6 (9/7), 7-6 (7/3) itu sekali gus menghampakan peminat tenis yang mahu menyaksikan pertarungan dinantikan di antara Federer dan juara dua kali Djokovic yang menewaskan Joao Sousa 6-3, 6-4, 6-3.

Kekalahan Federer itu adalah yang paling awal pernah dialaminya di Terbuka AS sejak tewas di tangan Tommy Robredo pada pusingan keempat 2013.

Ia juga kekalahan pertama buat Federer yang menjuarai 20 kejuaraan utama kepada pemain berada di luar ranking 50 dalam 41 perlawanan di Terbuka AS.

"Saya bagaikan bermimpi,” kata Millman, 29, selepas tamat perlawanan yang memakan masa tiga jam 35 minit di Gelanggang Atrthur Ashe.

"Saya amat menghormati Roger dan apa yang dilakukan untuk sukan ini. Dia tetap wira di mata saya.”

Federer memegang mata akhir di set kedua dan ketiga tetapi kegagalan menguasai servis menjejaskan keseluruhan permainannya dan melakukan 77 kesilapan sekali gus membuka ruang but Millman menguasai permainan.

"Cuaca sangat panas,” kata Federer yang bajunya basah dengan peluh sepanjang perlawanan.

"Saya seperti kurang udara dan terlalu banyak berpeluh membuatkan saya semakin tidak selesa.”

“John dapat menyesuaikan diri mungkin kerana dia berasal dari Brisbane salah satu tempat yang panas di dunia,” katanya.

Millman yang akan menentang seorang lagi idolanya, Djokovic bagi memburu tempat ke separuh akhir berusaha menjadi pemain Australia pertama menjuarai Grand Slam sejak Lleyton Hewitt muncul juara Wimbledon pada 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 3:49 PM