DJOKOVIC mencium trofi Wimbledon. - FOTO Reuters
DJOKOVIC mencium trofi Wimbledon. - FOTO Reuters
AFP

NOVAK Djokovic menyelamatkan dua mata akhir sebelum merangkul trofi kelima Wimbledon dan gelaran utama ke-16nya semalam sekali gus menghampakan misi Roger Federer muncul pemain tertua menjuarai Grand Slam.

Walaupun perlawanan lebih dikuasai Federer, namun kemenangan berpihak kepada pemain nombor satu dunia itu 7-6 (7/5), 1-6, 7-6 (7/4), 4-6, 13-12 (7/3).

Aksi yang memakan masa 4 jam 57 minit adalah yang paling lama dalam sejarah Wimbledon dan terpaksa ditentukan pada final tiebreak buat pertama kali.

Djokovic muncul pemain pertama dalam masa 71 tahun menjuarai kejohanan selepas ketinggalan pada mata akhir. Dia kini menyamai pencapaian Bjorn Borg yang menjuarainya sebanyak lima kali.

"Saya gembira akhirnya dapat menikmati keseronokan sebagai juara. Saya hanya terpisah satu mata sebelum menang. Perlawanan ini ada segala-galanya. Saya rasa ini final paling sukar pernah saya tempuhi, ” kata Djokovic.

Federer dalam pada itu tujuh kali terselamat dalam set penentuan ketika kedudukan terikat 7-7 dan kejayaan hampir memihaknya sehingga penyokong sedia memberikan penghormatan kepadanya.

Tetapi pukulan Federer terkeluar di mata akhir sekali gus memberikan kejayaan kepada Djokovic.

"Ia perlawanan sangat hebat dan lama. Tahniah Novak, ia sangat gila,” kata Federer.

"Saya akan cuba melupakannya tapi ini perlawanan hebat.”

Federer juga berharap kemampuannya pada usia itu boleh dijadikan contoh kepada pemain lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 8:40 AM