HAMILTON tidur lewat fikir strategi pintas Ferrari. FOTO/AFP
HAMILTON tidur lewat fikir strategi pintas Ferrari. FOTO/AFP
AFP

MONZA (Itali): Pendahulu perlumbaan Formula Satu (F1), Lewis Hamilton mengakui terpaksa tidur lewat malam tadi semata-mata melakukan kajian dan mencari jalan terbaik memotong pencabar terdekat, Ferrari pada perlumbaan Grand Prix Itali, yang bermula lewat hari ini.

Juara bertahan itu akan bermula di petak ketiga di belakang pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen dan Sebastian Vettel.

Hamilton mengakui perlu melakukan sesuatu pada garis mula sambil berharap permulaan yang sempurna akan memberi peluang kepada pasukan mereka.

"Saya perlu mengkaji dengan tekun malam ini (semalam) mengenai cara terbaik untuk saya berada di depan pelumba Ferrari pada pusingan pertama lagi.

"Mujur rakan saya Valtteri (Bottas) di belakang saya, ini membuka peluang kami memberikan tekanan ke atas pelumba kereta merah itu,” katanya.

Meskipun Hamilton berjaya memecahkan rekod sepusingan terpantas milik Juan-Pablo Montoya di Monza pada 2004, (BMW  Williams), namun catatan masa itu belum cukup untuknya meraih petak depan GP Itali.

"Mereka benar-benar melakukan kerja yang bagus,” kata Hamilton mengulas mengenai kelajuan jentera Ferrari.

"Kami sudah memberikan segala-galanya yang kami miliki, nampaknya mereka benar-benar bekerja keras dan pastinya akan ada banyak perbezaan pada perlumbaan kali ini. 

"Apapun kami sudah meningkatkan kelajuan kereta kami dan gembira dengan petugas pasukan yang juga bekerja keras hari ini.

"kami memang kena kerja keras pada perlumbaan esok (hari ini). Ferrari memang lebih pantas berbanding kami, perlumbaan sebenar memang sukar,” katanya.

Bottas yang bergelut meraih petak keempat turut mengakui kesukaran dengan berkata : "Ia pasti sukar. Kami sudah melakukan beberara perubahan pada sesi kelayakan terakhir, kami makin laju di selekoh, tetapi ketika membrek ia ada masalah, ia terlalu mencengkam.

"Kami akan berikan persembahan terbaik esok (hari ini). Pusingan pertama pastinya menarik, kami mungkin mendapat sedikit kesan daripada perebutan menuju ke selekoh pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 11:45 AM