COLEMAN menjuarai acara 100m di kejohanan Amerika Syarikat.
COLEMAN menjuarai acara 100m di kejohanan Amerika Syarikat.
AFP

CHRISTIAN Coleman menjuarai acara 100m di kejohanan Amerika Syarikat hari ini, menempah tiket ke Kejuaraan Dunia tahun ini dengan aksi memukau.

Coleman yang sebelum ini mengatasi juara dunia Justin Gatlin untuk menang aksi separuh akhir dengan 9.96 saat, mendahului sejak awal perlumbaan untuk menang di Stadium Drake dengan catatan 9.99 saat.

Gatlin yang sudah pun menempah tiket ke Kejuaraan Dunia selepas meraih pingat emas pada 2017 memilih untuk tidak menyertai perlumbaan akhir selepas tewas di separuh akhir.

Situasi itu membuka peluang mudah buat Coleman yang meluru dari awal perlumbaan dan menjarakkan dirinya berbanding kelompok pelari di belakangnya.

Michael Rodgers mencatat 10.12 di tangga kedua manakala Christopher Belcher di tempat ketiga.

Ia kemenangan yang memuaskan buat Coleman, pelari terpantas dunia tahun ini dalam acara 100m dengan catatan 9.81s.

Pelari berusia 23 tahun itu akan menyertai Kejuaraan Dunia di Doha sebagai pencabar utama acara riben biru itu.

“Saya rasa hebat.” kata Coleman.

“Sasaran sepanjang tahun ini adalah untuk menyertai pasukan. Misi ini belum berakhir.

“Saya melangkah ke tahun ini dengan impian mahu menang pingat emas di Doha dan ini hanya selangkah untuk berada di sana.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 11:12 AM