ATLET Amerika Syarikat, Christian Coleman jadi tumpuan dunia di Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan IAAF.
ATLET Amerika Syarikat, Christian Coleman jadi tumpuan dunia di Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan IAAF.
AFP

SEMUA mata kini tertumpu kepada Christian Coleman yang sedang bersiap sedia di Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan IAAF di sini selepas tujuh bulan meraih pingat perak acara pecut yang kini tanpa kelibat Usain Bolt yang sudah bersara.

Coleman, 21, melangkah ke Birmingham, dengan memegang rekod baharu acara 60 meter dalam dewan dengan catatan 6.34 saat yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Amerika Syarikat (AS) di Albuquerque, bulan lalu.

Catatan Coleman 0.05 saat lebih pantas berbanding rekod lama milik rakan senegara, Maurice Greene yang dicipta di Madrid pada 1998.

Bintang baru AS itu memadam rekod 60 meter milik Greene ketika bertanding di Clemson, Selatan South Carolina, pada 19 Januari lalu dengan catatan 6.37 saat.

Bagaimanapun, catatan itu tidak dikira kerana penganjur kejohanan tidak menggunakan alat pelepasan elektronik.

“Saya mahu memecahkannya, tetapi terasa ia masih tidak menjadi kenyataan,” katanya.

“Saya memang sasarkan untuk menang. Saya sudah bekerja keras sejak mula dan gembira melakukannya.”

Tanpa kelibat pelari pecut Jamaica, Bolt, Coleman mengakui kurang tekanan memburu gelaran.

“Saya perlu tumpukan perhatian dan meneruskan kerja keras mencapainya,” katanya.

Begitupun pencabar utama Coleman pasti dari rakan senegaranya, Ronnie Baker dan Michael Rodgers, selain atlet dari China, Su Bingtian, yang merakam 6.50 saat rekod stadium di Glasgow Ahad lalu. as Finalis 100 meter Olimpik, Ben Youssef Meite dari Ivory Coast juga bakal memberi saingan hebat sekali lagi.

Sementara itu, rakan Meite, Marie Josee Ta Lou juga menjadi atlet pilihan wanita memenangi gelaran selepas menyinar di kejohanan Torun dan Glasgow.

Marie, 29, yang juga pemenang pingat perak acara 100m dan 200m mencatat masa konsisten dengan merakam 7.07 saat di Scotland, minggu lalu.

Atlet AS, Javianne Oliver, yang mendahului ranking dunia dengan catatan 7.02 saat, dijangka memanaskan lagi saingan manakala atlet Jamaica, Elaine Thompson, selaku juara berganda acara pecut Olimpik dilihat bukan ancaman selepas catatannya tidak menghampiri 6.98 saat pada larian terakhirnya musim lalu.

Namun selepas menamatkan saingan di tangga ketiga di Glasgow dengan catatan 7.12 saat minggu lalu, Thompson dilihat mampu menamatkan saingan di podium sekali lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 2:11 PM