KAKA dikatakan akan kembali dalam Serie A. FOTO/AGENSI
KAKA dikatakan akan kembali dalam Serie A. FOTO/AGENSI
AFP

MILAN: Bekas bintang AC Milan dan Brazil, Kaka pulang ke Itali selepas timbul laporan yang mengatakan beliau bersedia untuk memegang jawatan bersama kelab gergasi Serie A itu.

Pemenang anugerah Ballon d'Or 2007 itu dilaporkan sedang mencari kemungkinan untuk menyertai lembaga pengarah kelab sekali gus menyertai bekas rakan sepasukannya, Leonardo dan Paolo Maldini.

Seorang lagi bekas pemain Milan, Gennaro Gattuso ketika ini melatih juara Eropah tujuh kali itu sejak musim lalu.

“Saya sering bercakap dengan Leonardo, kami adalah rakan, tetapi peranan yang saya akan peroleh di Milan belum lagi dibincangkan,” kata Kaka ketika ditemui media ketika tiba di Itali.

Kaka mengharungi enam musim bersama Milan sebelum menyertai Real Madrid pada 2009 tetapi kembali semula ke kelab itu secara pinjaman pada 2013.

Beliau memenangi satu gelaran Serie A dan Liga Juara-Juara bersama Milan.

Bekas pemain berusia 36 tahun itu akan menonton perlawanan pertama Milan di gelanggang sendiri musim ini di San Siro menentang AS Roma, esok selepas kelab itu tewas 2-3 pada aksi pembukaan di Napoli.

“Keutamaan saya ketika ini adalah anak-anak saya menginap di Brazil, yang menjadi alasan mengapa saya tidak datang ke sini sebelum ini, tetapi Leonardo dan Maldini membawa saya hampir ke Milan.”

Ketika ini, Kaka akan menyertai Pengarah Sukan, Leonardo dan Maldini bagi menyusun strategi dan pembangunan serta mempelajari selok belok pengurusan termasuk kemungkinan untuk membantu pasukan pencarian bakat kelab itu di Brazil.

“Saya mahu memahami apa yang saya gemar lakukan dalam dunia bola sepak,” kata Kaka yang mengumumkan persaraannya daripada arena bola sepak tahun lalu selepas mengharungi kempen cemerlang di Milan, Real dan Sao Paulo sebelum menyertai kelab Amerika Syarikat, Orlando City.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 9:55 AM