HENRY gantikan tempat Poyet yang digantung kelab itu. -Foto AFP
HENRY gantikan tempat Poyet yang digantung kelab itu. -Foto AFP
Reuters

PARIS: Bekas penyerang Perancis, Thierry Henry bersetuju melatih kelab FC Girondins de Bordeaux, lapor penyiar RMC Sport, hari ini sambil memetik sumber rapat kelab Ligue 1 itu.

Henry yang menikmati karier gemilang di Arsenal dan Barcelona sebelum ini memegang jawatan pembantu jurulatih skuad kebangsaan Belgium.

Beliau mengambil alih jawatan bekas pemain Uruguay, Gus Poyet yang digantung kelab Ligue 1 itu minggu lalu susulan komen dibuatnya terhadap perjanjian perpindahan pemain pasukan itu yang menjual penyerang, Gaetan Laborde ke seteru Montpellier.

RMC Sport berkata pemilik baharu kelab itu dari Amerika Syarikat, yang bersetuju membeli Bordeaux dari M6 pada penghujung Julai lalu masih perlu mengesahkan perjanjian berkenaan.

Henry yang juga penjaring gol terbanyak Perancis akan menyertai seorang lagi rakan sepasukannya yang menjuarai Piala Dunia 1998, Patrick Vieira untuk mengendalikan kelab liga utama negara itu musim ini.

Vieira yang juga bekas pemain Arsenal mengemudi kelab Nice.

Bordeaux pernah memenangi enam gelaran utama liga Perancis dengan kali terakhir pada 2009 di bawah kendalian seorang lagi wira Piala Dunia 1998, Laurent Blanc.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 8:45 PM