PEMAIN PSV Eindhoven, Donyell Malen meraikan gol ketiga pasukan yang dijaringnya. Foto REUTERS
PEMAIN PSV Eindhoven, Donyell Malen meraikan gol ketiga pasukan yang dijaringnya. Foto REUTERS
Reuters

BEKAS juara Eropah PSV Eindhoven dipaksa bekerja keras sebelum menang 3-2 di BATE Borisov dalam aksi pertama pusingan playoff Liga Juara-Juara manakala Benfica seri 1-1 di laman sendiri menentang PAOK.

Red Star Belgrade, juara Eropah 1991, seri tanpa jaringan di laman sendiri bertemu Salzburg pada perlawanan tertutup selepas kelab Serbia itu dihukum dua perlawanan tanpa penonton.

PSV, juara tahun 1988, ketinggalan seawal minit kesembilan hasil jaringan Jasse Tuominen, tetapi kelab Belanda itu kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-35 menerusi sepakan penalti Gaston Pereiro.

Penyerang PSV, Hirving Lozano meletakkan pelawat di depan pada minit ke-60 tetapi tuan rumah kembali menyamakan kedudukan di minit ke-88 menerusi Aleksandr Hleb sebelum pemain gantian Donyell Malen meledak gol kemenangan seminit kemudian.

Pemain tengah Benfica Pizzi terlepas beberapa peluang untuk juara Eropah tahun 1961 dan 1962, sebelum menyempurnakan sepakan penalti di akhir babak pertama.

Gergasi Portugal itu menguasai permainan tetapi kelalaian di minit ke-76 membolehkan pemain gantian Amr Warda menyamakan kedudukan untuk PAOK.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 11:33 AM