PEMAIN Benfica Andre Almeida (tiga dar kanan) berebut bola dengan pemain PAOK, Thessaloniki Fernando Varela dalam aksi kelayakan UCL.   FOTO/AFP
PEMAIN Benfica Andre Almeida (tiga dar kanan) berebut bola dengan pemain PAOK, Thessaloniki Fernando Varela dalam aksi kelayakan UCL. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Bekas juara, Benfica, PSV Eindhoven dan Red Star Belgrade menempah tempat ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara sekali gus menyertai penyandang juara, Real Madrid dan juara Inggeris, Manchester City pada sesi undian di Monaco, petang ini.

Benfica, juara pada edisi 1961 dan 1962 serta lima kali bergelar naib juara menamatkan perjalanan kelab Greece, PAOK Salonika 4-1 di gelanggang lawan, awal pagi tadi selepas aksi pertama berakhir 1-1.

PSV, yang menewaskan kelab Portugal itu di final 1988 menyingkirkan kelab Belarus, BATE Borisov 3-0 untuk mara dengan keputusan agregat 6-2.

Red Star, yang memenangi gelaran elit itu pada 1991 begitupun terpaksa ‘berpeluh’ apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat keputusan seri 2-2 bertemu kelab Austria, Salzburg dan mara menerusi jaringan di tempat lawan.

Ia adalah penampilan kesembilan berturut-turut buat Benfica di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara tetapi bertemu PAOK, mereka terlebih dulu ketinggalan menerusi jaringan Aleksandar Prijovic,

Skipper Jardel menyamakan kedudukan menerusi tandukan sebelum penjaga gol PAOK, Alexandros Paschalakis menghadiahkan penalti yang disempurnakan Eduardo Salvio pada minit ke-26.

Pizzi menjadikan kedudukan 3-1 sebelum rehat sebelum Salvio menyumbat gol keduanya pada perlawanan itu.

PSV yang dikendalikan legenda Belanda, Mark van Bommel mara menerusi gol Steven Bergwijn dan Luuk de Jong sebelum bintang Piala Dunia Mexico, Hirving ‘Chucky’ Lozano melengkapkan jumlah jaringan.

Salzburg dalam pada itu perlu menyalahkan diri sendiri apabila mendahului dua gol menerusi Munas Dabbur tetapi membenarkan Red Star bangkit dengan kedua-dua gol dijaringkan pemain Cameroon, El Fardou Ben Nabouhane.

Ini kali pertama Red Star mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara selepas setahun menjuarai gelaran berkenaan manakala buat Salzburg, ia kali ke-13 buat mereka gagal layak sejak musim  1994/95.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 9:59 AM