Penyerang PSV Eidhoven, Cody Gakpo menjaringkan gol menarik pada aksi berdepan Benfica, pagi ini. FOTO AFP
Penyerang PSV Eidhoven, Cody Gakpo menjaringkan gol menarik pada aksi berdepan Benfica, pagi ini. FOTO AFP
AFP

Paris: Benfica menewaskan PSV Eindhoven 2-1 dalam saingan perlawanan pertama pusingan play-off Liga Juara-Juara, pagi ini, sekalipun pemain sayap kelab Belanda, Cody Gakpo mencuri perhatian menerusi gol menarik di Lisbon.

Benfica juara Eropah dua kali yang tewas kepada PSV pada final 1988, mengintai peluang untuk berada dalam peringkat kumpulan selepas tewas pada kelayakan musim lalu.

"Sentiasa gol yang tidak perlu dipertikaikan, tetapi 2-0 lebih baik daripada 2-1," kata jurulatih Benfica, Jorge Jesus merujuk kepada syarat Uefa menghapuskan undang-undang gol di tempat lawan.

"Pada peringkat ini, apabila anda beraksi bersama pasukan ini, aksi di laman sendiri atau di tempat lawan tidak diambil kira sangat. Sesiapa boleh menang, kami juga boleh pergi ke Eindhoven dan menang."

Ia adalah perlawanan kelima dalam kempen itu buat PSV, yang sudahpun menyingkirkan Galatasaray dan Midtjylland.

Penyerang Portugal, Rafa Silva memberikan gol pendahulu buat tuan rumah pada minit ke-10, selepas menyambut hantaran Roman Yaremchuk dan merembat ke penjuru gawang.

Benfica meledak gol kedua beberapa minit sebelum rehat separuh masa selepas perancang tengah Jerman, Julian Weigl memanfaatkan kekalutan di depan jaring gol lawan.

Tetapi pemain sayap PSV, Gakpo merapatkan kedudukan selepas waktu rehat dengan jaringan menarik menerusi larian solo sebelum melakukan rembatan dari jarak jauh.

Usaha Mario Goetze memburu jaringan dinafikan oleh hadangan bijak Rafa Silva.

Benfica kini berpeluang cerah menempah tempat dalam undian peringkat kumpulan yang berlangsung di Istanbul pada Khamis, 26 Ogos, jika mereka mengelak daripada kekalahan di Eindhoven, Selasa depan, namun jaringan Gakpo pastinya memberi keyakinan buat PSV.

Keputusan perlawanan awal pusingan Play-off Liga Juara-Juara:

Di Lisbon

Benfica (POR) 2 (Rafa Silva 10, Weigl 42) PSV Eindhoven (NED) 1 (Gakpo 51)

Di Malmo, Sweden

Malmo (SWE) 2 (Birmancevic 26, Berget 61) Ludogorets Razgrad (BUL) 0

Di Bern

Young Boys (SUI) 3 (Elia 16, Sierro 40, Garcia 65) Ferencvaros (HUN) 2 (Boli 14, 82)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 7:15 AM