VIDAL (kiri) jaring gol pertama Bayern.
VIDAL (kiri) jaring gol pertama Bayern.

Lisbon: Bayern Munich muncul pemenang pada aksi menarik suku akhir Liga Juara-Juara menentang Benfica, layak ke separuh akhir menerusi kemenangan agregat 3-2 selepas seri 2-2 di Lisbon, awal pagi semalam.

Pep Guardiola membawa juara Jerman itu ke Stadium Da Luz dengan kelebihan 1-0 pada suku akhir pertama selepas gol awal Arturo Vidal di Arena Allianz, minggu lalu.

Selepas permulaan hambar, Benfica menyamakan kedudukan pada minit ke-27 apabila Raul Jimenez melepasi benteng pertahanan Bayern sebelum menanduk masuk melepasi Manuel Neuer.

Namun Vidal menjaringkan gol keduanya pada suku akhir tujuh minit sebelum rehat menyebabkan Benfica kendalian Rui Vitoria memerlukan dua gol untuk mara.

Perlawanan itu kelihatan berakhir sebaik selepas rehat apabila Thomas Mueller menyumbat gol dengan bergaya.

Benfica berjaya mencetus penamat getir menerusi sepakan percuma Talisca yang menyamakan kedudukan namun ia pasti lebih menarik jika pemain Bayern Javi Martinez dibuang padang kerana kekasaran yang mencetus sepakan percuma itu.

Bayern bagaimanapun menyertai Real Madrid, Atletico Madrid dan Manchester City bagi undian separuh akhir malam ini, ketika jurulatih Guardiola mahu menamatkan kempen dengan tiga trofi Liga Juara-Juara, Bundesliga dan Piala Jerman sebelum menyertai Man City hujung musim ini.

“Kami puas hati kerana Liga Juara-Juara satu pertandingan yang amat sukar. Kami sudah meraih objektif kami dan kini mahu melangkah ke final,” ujar Guardiola, yang kini layak ke separuh akhir dalam semua tujuh kempen sebagai jurulatih.

“Daripada apa yang saya baca di Jerman jika saya meninggalkan pasukan ini tanpa memenangi Liga Juara-Juara, tugas saya tidak lengkap.

“Tapi bagi kami jurulatih, sasarannya adalah untuk memenangi trofi.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 9:34 AM