JIN Wei (kanan) tewaskan Aya 21-18, 22-20 dalam aksi pusingan kedua, hari ini. FOTO/AFP
JIN Wei (kanan) tewaskan Aya 21-18, 22-20 dalam aksi pusingan kedua, hari ini. FOTO/AFP
Helmi Talkah


BINTANG muda negara, Goh Jin Wei hanya ada satu misi pada Kejohanan Dunia dunia kali ini - membuat kejutan dengan menewaskan pemain pilihan dalam kejohanan yang berlangsung di Nanjing, China itu.

 Pemain berusia 18 tahun itu terus membuktikan dia adalah aset penting Malaysia dalam acara perseorangan wanita apabila mengejutkan pilihan ke-14 dari Jepun, Aya Ohori 21-18, 22-20 dalam aksi pusingan kedua, hari ini.

 Kemenangan itu menyaksikan Jin Wei yang juga bekas juara remaja dunia mempunyai satu lagi peluang untuk melakar kejutan apabila berdepan pilihan kelapan dari Jepun, Nozumi Okuhara bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

 Okuhara mara selepas mudah menewaskan pemain Kanada, Rachel Honderich 21-11, 21-9.

 Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, berkata beliau gembira dengan persembahan ditunjukkan Jin Wei yang membuktikan dirinya semakin matang apabila tidak tertekan berdepan lawan yang memiliki reputasi lebih tinggi.

 "Sejak dari awal lagi saya tidak letak sasaran tinggi kepada Jin Wei kerana apa yang penting adalah dia dapat tunjuk permainan sebenarnya di sini. Sesiapa pun lawan yang dia bakal hadapi, dia tidak perlu tertekan kerana apa pun keputusannya dia tidak akan rugi apa-apa.

 "Namun, dia menunjukkan semangat yang luar biasa di sini. Kerja utama dia di sini adalah untuk membuat kejutan," kata Seu Bock ketika dihubungi.

 Sementara itu, beregu wanita negara, ChoW Mei Kuan-Lee Meng Yean turut mara ke pusingan ketiga selepas menewaskan pasangan Jerman, Isabel Herttrich-Carla Nelte 16-21, 21-17, 22-20.

 Mereka akan bertemu pilihan kelima kejohanan dari Indonesia Greysia Polli-Apriyani Rahayu untuk persaingan merebut tempat ke suku akhir, esok.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 3:41 PM