GUARDIOLA (gambar kecil) pasti kecewa dengan persembahan anak buahnya yang ditewaskan Borussia Dortmund 1-0  dalam saingan Piala Juara Antarabangsa. Foto EPA
GUARDIOLA (gambar kecil) pasti kecewa dengan persembahan anak buahnya yang ditewaskan Borussia Dortmund 1-0 dalam saingan Piala Juara Antarabangsa. Foto EPA
AFP

PERMULAAN kempen pramusim Pep Guardiola berakhir dengan kekalahan tipis di tangan Borussia Dortmund ketika penalti babak pertama kapten, Mario Goetze sudah cukup untuk mengetepikan juara Liga Perdana, Manchester City 1-0 di Soldier Field dekat Chicago.

Guardiola menggunakan khidmat pemain baru seperti Riyad Mahrez dan bintang Jerman, Leroy Sane, namun pemain lain kurang berpengalaman dan pemain muda gagal mengatasi kehebatan Dortmund yang sudah bermain satu perlawanan musim panas ini dan tampak lebih tajam pada saingan Piala Juara Antarabangsa.

Gol kemenangan Goetze hadir pada minit ke-28 apabila pemain kebangsaan Amerika Syarikat, Christian Pulisic dijatuhkan dalam kotak penalti.

Pemain tengah yang menjaringkan gol kemenangan pada final Piala Dunia 2014 itu tidak berdepan masalah menewaskan Claudio Bravo.

Mahrez menampilkan kualitinya namun Guardiola pasti kecewa kerana pemainnya kurang tajam di depan gol.

Dengan ramai pemain yang memenangi gelaran masih berehat dan menyambung cuti selepas saingan Piala Dunia, sebahagian besar pemain kurang berpengalaman diturunkan pengendali dari Sepanyol itu di Soldier Field.

Mahrez, pemain dibeli dengan harga £75 juta (RM400 juta) dari Leicester, melakukan penampilan pertama manakala pemain tengah remaja England, Phil Foden juga diturunkan.

Seramai 34,629 peminat memenuhi Soldier Field dan pemain muda City berjaya mengekalkan rentak mereka pada awal permainan namun selepas itu Dortmund mencipta lebih banyak peluang dengan Goetze memainkan peranan penting bersama Pulisic.

Mahrez muncul pemain terbaik City dengan larian pantas dan hantaran lintang pada pertengahan saingan yang menunjukkan ancamannya di bahagian serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 12:27 PM