PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp. FOTO Reuters
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp. FOTO Reuters
AFP

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp bimbang dengan pemain yang terbabit dengan bebanan tugasan antarabangsa yang akan menyebabkan kelab terpaksa menanggung akibatnya apabila bermulanya musim baru liga.

Klopp sedang melakukan persediaan untuk kempen baru Liga Perdana Inggeris tanpa beberapa pemain utama Liverpool yang sedang bercuti selepas tugasan di Piala Dunia.

Bagaimanapun, masa agak suntuk buat pemain yang beraksi di Russia untuk berehat dan kembali mendapatkan tahap kecergasan sebenar kerana saingan liga akan bermula pada 10 Ogos.

Menambahkan masalah adalah pengenalan Liga Nasional UEFA yang menggantikan aksi persahabatan antarabangsa yang bakal bermula 6 September.

Klopp berasakan Liverpool dan kelab lain bimbang terpaksa membayar harga tinggi kerana pemain yang terbabit dengan tugasan antarabangsa mempunyai masa yang singkat untuk kembali cergas.

“Saya tidak mahu bermain politik tetapi jika situasi ini tidak dihentikan dengan terbaru pengenalan kepada Liga Nasional, pemain yang beraksi di Piala Dunia terpaksa turun beraksi perlawanan antarabangsa lagi.  

“Kami mempunyai empat pemain yang beraksi di saingan separuh akhir Piala Dunia yang mana ia masih ok. Tetapi kelab seperti Tottenham (Hotspur), sembilan pemain mereka terbabit di peringkat sama.

“Saya tak pasti bagaimana mereka mengendalikan situasi ini. Pastinya ia satu cabaran besar dan pada masa depan ia perlu diubah.

“Mereka beraksi di Piala Dunia dan kemudian Piala Nasional yang boleh dianggap sangat gila. Segala-galanya sangat penting dalam bola sepak dan kami pula perlu mengutip 'tulang' selepas itu,” katanya.

Klopp dijangka tidak dapat menggunakan khidmat pertahanan Croatia, Dejan Lovren yang beraksi di final Piala Dunia dan pemain tengah England, Jordan Henderson untuk perlawanan pertama Liverpool menentang West Ham.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 8:42 PM