NECO Williams bergembira bersama rakan sepasukan selepas  Ro-Shaun Williams menjaringkan gol sendiri. FOTO Reuters
NECO Williams bergembira bersama rakan sepasukan selepas Ro-Shaun Williams menjaringkan gol sendiri. FOTO Reuters
AFP

SKUAD muda Liverpool membuktikan keputusan jurulatih, Jurgen Klopp merehatkan barisan bintang adalah tepat apabila mereka mara ke pusingan kelima Piala FA dengan menewaskan Shrewsbury, awal pagi tadi.

Klopp dan skuad utama tidak beraksi pada perlawanan ulangan pusingan keempat di Anfield susulan cuti musim sejuk.

Pengurus Liverpool itu dikritik kerana tidak menghormati tradisi Piala FA tetapi barisan mudanya berjaya melaksanakan tugas dan aksi matang mereka berbaloi apabila Ro-Shaun Williams tertanduk bola ke gawang sendiri pada babak akhir perlawanan.

Liverpool akan berdepan Chelsea pada saingan 16 terakhir di Stamford Bridge pada Mac depan sekali gus berpotensi merangkul tiga kejuaraan, Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA.

Klopp menggalaskan tugas kepada jurulatih Bawah 23, Neil Critchley yang turut mengendalikan skuad muda yang tewas di Aston Villa pada suku akhir Piala Liga, awal musim ini. Namun Klopp ada alasan lebih baik ketika itu apabila membawa Liverpool muncul juara Piala Kelab Dunia di Qatar.

Kali ini dengan tidak mempedulikan kritikan, dia merehatkan Mohamed Salah, Virgil Van Dijk dan lain-lain tetapi pada masa sama memberi peluang kepada penyokong menyaksikan bintang masa depan Liverpool.

Dengan purata umur 19 tahun dan 102 hari, ia kesebelasan paling muda Liverpool pernah tampil dalam semua kejohanan. Terdapat tujuh pemain remaja termasuk Harvey Elliott berusia 16 tahun manakala Pedro Chirivella paling tua, 22 tahun. Pemain remaja kelahiran Liverpool, Curtis Jones muncul kapten paling muda berusia 19 tahun lima hari.

Walaupun menguasai perlawanan, Liverpool nyaris ketinggalan pada minit ke-58 menerusi tandukan Shaun Whalley tetapi dibatalkan VAR selepas salah seorang rakan sepasukan terlebih dahulu ofsaid.

Tuah milik Liverpool apabila gol kemenangan terhasil pada minit ke-75 menerusi Ro-Shaun Williams yang tertanduk bola ke gawang sendiri dalam usahanya menyekat hantaran jauh Neco Williams.

"Pengurus memberi nasihat dan sokongan kepada kami sebelum perlawanan, sangat fantastik,” kata Critchley mengenai Klopp.

"Dia sangat gembira dengan prestasi pemain muda dan mungkin memberi peluang kepada mereka untuk beraksi menentang Chelsea.”

Dalam perlawanan lain, Newcastle mara ke pusingan kelima buat kali pertama sejak 2006 selepas meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas Oxford di tempat lawan.

Wayne Rooney bakal berdepan kelab lamanya, Manchester United selepas membantu Derby menewaskan Northampton 4-2 di Pride Park.

Rooney menjaringkan gol keempat menerusi penalti dan membolehkan dia mengadakan ‘reunion’ dengan juara Piala FA 12 kali, United.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 7:56 AM