VAN Huizen (tengah) mahu anak buah peroleh tonik sebelum Sukan Asia. FOTO/FAIL
VAN Huizen (tengah) mahu anak buah peroleh tonik sebelum Sukan Asia. FOTO/FAIL
Saiful Affendy Sapran


SELEPAS gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan persahabatan dengan Australia A, skuad negara berharap mampu menewaskan lawan mereka itu pada perlawanan terakhir esok bagi memperoleh tonik terbaik ke Sukan Asia di Jakarta, bulan ini.

Anak buah Stephen Van Huizen setakat ini dilihat tidak mempunyai aura untuk ke Jakarta apabila masih gagal meraih kemenangan dengan Australia A yang hanya membariskan pemain campuran sedangkan ia adalah persiapan terakhir sebelum ke Sukan Asia.

Malaysia tewas dalam saingan persahabatan pertama hingga ketiga dengan keputusan 2-4, 2-3, 0-3 sebelum mencatat keputusan seri 2-2 semalam.

Kapten skuad negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib bagaimanapun berkata, dia serta rakan sepasukan tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

"Untuk perlawanan esok memang saya mahukan kemenangan. Walaupun sebenarnya kami lebih pentingkan prestasi di atas padang, tetapi pada masa sama kami juga mahukan keputusan yang positif.

"Kejayaan kita meraih keputusan seri 2-2 pada perlawanan keempat semalam (kelmarin) adalah kerana kurang melakukan kesilapan mudah dan harap prestasi seperti ini dapat diteruskan esok," katanya

Esok juga dilihat menjadi penilaian terakhir untuk Stephen melakukan congakan memilih 18 pemain terbaik ke Jakarta daripada 20 yang dibawa ke Perth, Australia ketika ini.

"Memang esok akan menjadi perlawanan terakhir yang menjadi penentu sama ada pemain terpilih atau tidak ke Sukan Asia.

"Jadi setiap pemain perlu memberikan yang terbaik dan cuba meyakinkan jurulatih," kata Sukri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 5:00 PM