PENYERANG Brazil, Gabriel Jesus (dua dari kanan) dijatuhkan pemain Switzerland pada aksi Kumpulan E, Piala Dunia 2018. FOTO Reuters
PENYERANG Brazil, Gabriel Jesus (dua dari kanan) dijatuhkan pemain Switzerland pada aksi Kumpulan E, Piala Dunia 2018. FOTO Reuters
Reuters

KONFEDERASI Bolasepak Brazil (CBF) meminta penjelasan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengapa Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak digunakan untuk menilai semula dua insiden ketika pertemuan dengan Switzerland, Ahad lalu.

Pada perlawanan pembukaan Kumpulan E yang berakhir seri 1-1 itu, pemain-pemain Brazil membuat bantahan keras dengan mengatakan pertahanan, Miranda ditolak oleh Steven Zuber yang kemudian meledak gol penyamaan buat Switzerland pada babak kedua.

Mereka juga percaya Gabriel Jesus turut dijatuhkan di kawasan penalti dan sepatutnya dianugerahkan sepakan penalti tetapi kedua-dua insiden berkenaan tampak tidak dinilai semula oleh pengadil.

“CBF ingin mengetahui daripada FIFA apakah alasan menyebabkan teknologi itu tidak digunakan ketika perlawanan,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

VAR digunakan buat pertama kali di Piala Dunia dan berdasarkan FIFA, hanya “kesalahan dan kesilapan yang jelas dan insiden terlepas pandang yang jelas boleh mengubah keputusan perlawanan” boleh dinilai semula.

Brazil percaya dua insiden berkenaan, yang kedua-duanya sepatutnya termasuk dalam senarai berkenaan.

Teknologi VAR jarang digunakan di Russia dengan hanya satu pertikaian besar, penalti yang dianugerahkan kepada Perancis ketika menentang Australia yang pada awalnya ditolak.

Penalti berkenaan, yang disempurnakan oleh Antoine Griezmann, membantu Perancis meraih kemenangan 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 7:17 PM